Premis pajak gadai tutup

KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula Isnin lalu membenarkan beberapa sektor ekonomi untuk beroperasi.

Sebelum PKPB dikuatkuasakan, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai rakyat terjejas dari segi pendapatan walaupun menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) mahupun Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Ekoran itu, ada dalam kalangan rakyat membuat keputusan untuk menggadaikan barang kemas atau berharga demi meneruskan kelangsungan hidup dan melangsaikan hutang mereka.

Dalam pelbagai perkongsian di media sosial oleh warganet menyaksikan satu barisan panjang orang ramai di hadapan sebuah kedai pajak gadai bagi menukar barang kemas mereka kepada wang tunai.

Lantaran itu, Suara Sarawak membuat tinjauan ke beberapa kedai pajak gadai yang terdapat di bandar raya ini untuk melihat sendiri situasi berkenaan.

Hasil tinjauan di Jalan Carpenter mendapati tiada satu pun premis pajak gadai mahupun kedai emas yang beroperasi.

Laluan di kaki lima sunyi tanpa kelibat orang ramai, hanya premis makanan serta kedai runcit yang dibuka.

Selain itu, keadaan di Lebuh India juga sama seperti di Jalan Carpenter, hanya kedai-kedai runcit, kedai makan dan farmasi yang beroperasi seperti biasa.

Keadaan di Jalan Carpenter dan Lebuh India tidak ubah seperti PKP fasa pertama, kedua dan ketiga.

Hanya sektor yang berkepentingan yang dibenarkan untuk beroperasi. Manakala yang tiada dalam senarai berkepentingan kekal tutup dan menunggu arahan daripada kerajaan.

Sebelum ini, kedua-dua lokasi ini adalah antara kawasan tumpuan warga tempatan dan asing untuk membeli belah dan terdapat banyak premis pajak gadai beroperasi di sini.

Sementara itu di Ipoh, Perak, di hadapan sebuah kedai pajak gadai orang awam berbaris panjang untuk menggadaikan barang kemas atau berharga mereka, semalam.

Menurut laporan tersebut, kirakira 70 pelanggan berbaris panjang sejak pagi hingga tengah hari untuk pajak gadai.

Suara Sarawak