MEXICO CITY: Presiden Mexico menegaskan bahawa negaranya tidak akan bertolak ansur dengan pengintipan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap institusi keselamatan.
Kenyataan itu dibuat pada pada Isnin ketika kebocoran perisikan mencetuskan ketegangan diplomatik baharu antara negara berjiran itu.
“Tindakan pengintipan tidak boleh digunakan untuk mengetahui apa yang dilakukan oleh institusi keselamatan kami dan, lebih-lebih lagi, dengan angkuh membocorkan maklumat kepada The Washington Post,” kata Andres Manuel Lopez Obrador pada sidang akhbar harian.
Beliau merujuk kepada laporan akhbar pada hujung minggu yang memetik dokumen sulit AS yang bocor yang menyatakan potensi ketegangan yang semakin teruk antara cabang angkatan tentera Mexico.
Menurut penilaian rahsia tentera AS, tentera laut Mexico kecewa dengan kemungkinan Lopez Obrador memberikan lebih banyak tanggungjawab kepada tentera, seperti mengawal semua ruang udara negara, kata akhbar berkenaan.
Tiada petunjuk bahawa risikan itu iaitu sebahagian daripada kebocoran besar dokumen sulit AS baru-baru ini, berdasarkan intipan perbualan telefon AS atau memintas pihak berkuasa Mexico, menurut Post.
Lopez Obrador, yang kemudiannya bertemu dengan Duta Besar AS Ken Salazar, juga menegaskan bahawa Mexico tidak akan menerima ejen anti-dadah AS yang beroperasi di tanahnya.
“Tidak boleh ada ejen asing di negara kita.
Tidak.
Kita boleh berkongsi maklumat, tetapi anggota Tentera Mexico, Tentera Laut dan Pengawal Kebangsaan yang boleh campur tangan,” katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) AS pada Jumaat mengatakan bahawa ia telah menyusup ke dalam Kartel Sinaloa yang terkenal sejak setengah tahun lalu, memperoleh akses yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke peringkat tertinggi organisasi.
Mexico telah merombak undangundang keselamatan negaranya pada 2021 untuk mengehadkan operasi ejen asing.
Lopez Obrador menuduh DEA mereka-reka jenayah pengedaran dadah terhadap Salvador Cienfuegos, yang merupakan tokoh penting dalam kerajaan bekas presiden Enrique Pena Nieto 2012-2018. – AFP