HARARE: Presiden Zimbabwe Emmerson Mnangagwa, yang juga ketua parti pemerintah ZANU PF, pada Sabtu melancarkan kempen sebagai persediaan menghadapi pilihan raya pada 23 Ogos untuk penggal kedua, lapor Xinhua.
Berucap kepada ribuan penyokongnya di Chipinge selepas pengisytiharan tarikh pilihan raya, Mnangagwa menggesa penyokongnya mengundi parti pemerintah yang membawa kemerdekaan kepada negara Afrika selatan.
Beliau berkata bahawa pentadbirannya telah berjaya memenuhi banyak janji yang dibuat sebelum ini.
“Kami menyelesaikan krisis bahan api, dan kekurangan bekalan elektrik,” kata Mnangagwa kepada penyokongnya.
Beliau berkata di bawah kepimpinannya, Zimbabwe telah berjaya menangani isu keselamatan makanan.
“Dalam tempoh yang singkat kami telah mengembangkan sektor pertanian daripada US$3.8 bilion kepada US$8 bilion,” katanya.
Sekatan yang dikenakan ke atas Zimbabwe lebih dua dekad lalu oleh negara Barat tidak seharusnya menghalang rakyat Zimbabwe daripada membangunkan negara mereka, kata Mnangagwa.
Beliau juga menyeru rakyat Zimbabwe untuk terus memelihara keamanan semasa negara menuju ambang pilihan raya.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Zimbabwe, 11 calon presiden telah diluluskan oleh badan pilihan raya untuk bertanding dalam pilihan raya tahun ini. – BERNAMA