Prestasi bagus walaupun hanya dua minggu berlatih

SKUAD Sarawak United FC (SUFC) memulakan kempen Liga Premier 2021 dengan rentak kemenangan, setelah membenam Kelantan United 2-0 di Stadium Hang Jebat malam Ahad lalu.

Gol-gol SUFC dijaringkan oleh Christie Jayaseran pada minit ke-12 dan bintang import, Uche Agba pada minit ke-31 melalui sepakan penalti.

Jurulatih SUFC, E. Elavarasan lega dengan kemenangan tersebut yang dianggapnya sebagai cukup bermakna.

“Ia merupakan kemenangan yang berharga bagi kami setelah hanya dua minggu membuat persiapan.

“Ia pasti akan menyuntik semangat para pemain untuk mengharungi aksi seterusnya,” jelas Elavarasan.

Menurutnya, para pemain menunjukkan fokus yang begitu baik, walaupun pasukan pelawat mengasak pada babak kedua.

“Saya berharap tiada pemain yang cedera kerana kita akan menentang Perak II Rabu ini,” ujarnya.

Elavarasan turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong SUFC, terutama Presiden SUFC, Datuk Posa Majais yang menyediakan siaran langsung menerusi laman Facebook untuk para penyokong Sarawak.

Kesebelasan utama SUFC malam Ahad lalu menyaksikan bekas penjaga gol Malaysia, Sharbinee Allawi di benteng terakhir.

Manakala Taylor Regan menerajui pertahanan bersama-sama Mohd Badrul, K. Reuben dan Tommy Mawat.

Bahagian tengah pula menyaksikan gandingan empat serangkai iaitu Nur Shamir Iszuan, Mohamad Zarin, Jayaseelan dan Lee Chang Hoon.

Manakal penyerang Malaysia, Norhshahrul Idlan Talaha bergandingan dengan bintang Nigeria, Uche Agba.

Suara Sarawak