KUCHING: Jurulatih Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak yang tidak mencapai tahap prestasi yang memuaskan akan diambil tindakan keras.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Dr Ong Kong Swee menegaskan prestasi jurulatih antara perkara yang akan dibentangkan dalam sesi taklimat persediaan SUKMA tahun 2022 dan 2024.
Katanya, seramai 76 orang jurulatih yang terlibat merangkumi 31 sukan di dalam persediaan temasya sukan itu kelak.
“Mereka perlu membuat tindakan secepat mungkin kerana mereka akan sentiasa dipantau dan dinilai mengikut laporan dan pelan latihan atau periodisasi, profil prestasi atlet, pertandingan dan lain-lain pendedahan.
“Jadi semua jurulatih perlu tumpu kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan prestasi atlet mereka.

“Prestasi setiap jurulatih dinilai melalui proses sistematik iaitu temuduga dan mengemukakan hasil prestasi atlet mereka sepanjang dua tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, penilaian akan dibuat oleh unit prestasi tinggi SSC yang diketuai oleh Konsultan Andre Richard, semua pegawai sukan terbabit, Persatuan-Persatuan Sukan Sarawak dan MSNS.
Jumaat lalu (26 November), beliau hadir ke sesi taklimat persediaan Sesi Taklimat Persiapan SUKMA 2022 Dan 2024 di Bilik Mesyuarat Pusat Akuatik Pandelela Rinong.
Sesi tersebut bertujuan melihat persiapan SUKMA 2022 di Bukit Jalil dan SUKMA Johor 2024, dan tumpuan tentang prestasi jurulatih, atlet dan pegawai sukan MSN dan SSC.
Sementara itu, sukan pilihan akan dimaklumkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Teknikal SUKMA Bulan Disember 2021.
SUKMA 2022 akan bermula pada Jun sehingga Ogos.
Turut hadir taklimat ialah Pengurus Bahagian Pembangunan Sukan(SSC), Ahmad Rodzli Hashim dan Ketua Unit Persiapan SUKMA, Abdul Muktalib Mohamad.