Prestasi pemain muda meningkat

PENOLONG Jurulatih Kuching City FC, Ideris Untong berpuas hati dengan prestasi semasa dipamerkan tiga pemain muda, Amirul Iqmal Bolhi, Amir Amri Salleh dan Diego Baggio anak Test selepas dua aksi pemanas badan setakat ini.

Menurut Ideris, karektor ditunjukkan kesemua tiga pemain muda terbabit menampakkan perubahan yang bagus. “Cukup berpuas hati setakat ini prestasi dipamer barisan pemain muda kita.

“Saya percaya inilah peluang untuk mereka meningkatkan prestasi diri,” ujar Ideris ketika mengulas mengenai perkara itu.

Apa pun tegas Ideris, diharap anak didiknya itu dapat meningkatkan lagi momentum yang ada kerana melalui aksi persahabatan dari siri jelajah ke enam bahagian kesempatan terbaik untuk memantapkan diri.

Katanya, mereka perlu memanfaatkan setiap perlawanan yang dilalui selepas ini. Lima aksi pemanas badan bakal dilalui pemain The City Boys selepas ini, menentang dua kelab dari Sibu (Sabtu & Ahad) di Padang Penjara Sibu.

Di samping akan menentang pilihan Mukah (15 Disember) menentang pilihan Bintulu (18 Disember) sebelum menutup siri jelajah menentang pilihan Miri (21 Disember).