Prestasi pemain tenis terjejas

PENGURUS pasukan tenis Sukma Sarawak, Stevie Din mengakui prestasi atlet terganggu dan agak menurun kerana lama tidak melakukan latihan di gelanggang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Stevie yang juga jurulatih sambilan di Pusat Cemerlang Perbadanan Pembangunan Sukan Sarawak berkata, atlet agak janggal kerana sukan yang menggunakan raket seperti tenis memerlukan latihan di gelanggang.

“Setakat ini, atlet hanya melakukan senaman kecergasan diri mengikut kemampuan masing-masing. “Pemantauan adalah melalui aplikasi WhatsApp dan hanya berdasarkan kepercayaan antara jurulatih dengan pemain,” katanya.

Tambah beliau, pemantauan latihan melalui penghantaran video adalah bergantung kepada inisiatif jurulatih masing-masing. Jelasnya, beliau lebih utamakan prestasi pemain selepas tempoh PKP tamat untuk berlatih di gelanggang kelak.

“Semasa PKP ini, ia adalah hak pemain untuk mengekalkan kecergasan masing-masing,” ujarnya. Stevie juga akur dengan penangguhan Sukma 2020.