Previu Liga Premier 2019: Baiki komunikasi

BARISAN pemain Sarawak diminta memperbaiki komunikasi bagi membentuk persefahaman jitu menjelang aksi menentang pendahulu liga, Sabah di Likas malam esok. Itu pesanan pemangku jurulatih Sarawak, Mohamad Denny Da’ail.

Menurutnya, kegagalan memahami bahasa atau komunikasi merupakan antara punca mereka kalah 3-1 kepada UKM FA dalam aksi di Kuching Rabu lalu.

“Pemain import kita (Rodrigo Amorim) dan pemain tempatan saling tidak memahami ketika berkomunkasi.

“Jadi ini menjejaskan perancangan kita… dan apa yang lebih membimbangkan saya ialah prestasi pemain tempatan lebih baik daripada pemain import,” kata Denny.

Oleh itu, Denny menggesa Rodrigo meningkatkan prestasi dan membuktikannya di Likas malam esok.

“Sepatutnya dia lebih faham ketika berkomunikasi dan menunjukkan prestasi yang baik kerana sudah agak lama bersama kami,” ujarnya.

Sarawak kini kekal di tangga tercorot. Dengan baki lima aksi, mereka tiada pilihan kecuali melakukan kejutan malam esok.

Bagaimanapun, di atas kertas, Sarawak dijangka akan menghadapi kesukaran kerana Sabah sedang berada dalam prestasi kemuncak ketika ini.

Skuad bimbingan Jelius Ating itu mempunyai peluang yang begitu baik untuk muncul juara musim ini.

Sarawak pula perlu mengutip sekitar 10 mata daripada baki lima perlawanan untuk kekal bersaing dalam Liga Premier musim depan.

Suara Sarawak