ARTIKEL

PRK DUN Jepak: Kemenangan pembangkang tidak ubah kedudukan GPS dalam DUN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BINTULU: Kemenangan calon pembangkang bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak tidak akan mengubah kedudukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Speaker DUN merangkap Pengerusi Tetap PBB Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Katanya ia kerana ketika ini, majoriti besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah daripada GPS, selepas memenangi 76 daripada 82 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.

Justeru, katanya pengundi di DUN Jepak tidak ada pilihan lain melainkan terus memberikan mandat kepada calon GPS, Iskandar Turkee pada hari mengundi PRK DUN Jepak pada 4 November nanti, sekali gus meneruskan legasi mendiang Datuk Talib Zulpilip.

“Kalau memilih calon yang lain, ini seolah-olah membuang undi ke laut sebab satu calon ini tidak dapat mengubah kedudukan di Dewan, struktur pemerintahan dan kabinet di Sarawak.

“Sebab itu kita mahu ADUN Jepak nanti terus bersama-sama dengan ADUN GPS di Dewan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Manifesto GPS bagi PRK DUN Jepak di sebuah hotel terkemuka di sini, sebentar tadi.

Mengenai manifesto GPS, Asfia yang juga Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata ia jelas menunjukkan GPS mempunyai hala tuju, pelan dan persiapan untuk mempertingkatkan pembangunan di Jepak.

“Hanya calon GPS sahaja yang mempunyai kuasa dan kekuatan untuk melaksanakan rancangan-rancangan pembangunan di Bintulu secara keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, ADUN Kemena merangkap Timbalan Pengarah Operasi GPS bagi PRK DUN Jepak, Datuk Seri Stephen Rundi Utom menegaskan GPS harus mendapat majoriti yang lebih besar berbanding 4,243 undi pada PRN lalu.

“Kalau majoriti kurang daripada 4,000 undi, maka ia akan memberi perspektif yang tidak baik kepada kekuatan GPS.

“Jadi, kita akan memastikan setiap pengundi turun mengundi pada 4 November nanti dan memberikan mandat yang lebih besar kepada calon GPS (Iskandar),” katanya.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak itu berkata dengan majoriti lebih besar diperolehi di DUN Jepak, ia akan terus memperkasakan GPS dalam menerajui Sarawak sebagai sebuah wilayah yang terkuat di Malaysia dan dihormati di dunia.

“Pada hari ini kita telah diketahui di dunia, jadi kita harus mengekalkan status ini yang tidak boleh dibeli dengan wang tetapi melalui sokongan padu daripada rakyat,” katanya.

Beliau turut yakin Iskandar dapat meraih undi yang lebih banyak berbanding Talib kerana berdasarkan maklum balas dari akar umbi, ramai orang menyukainya.

“Walaupun dipanggil sebagai calon hibrid, beliau mempunyai latar belakang yang saya anggap cukup sesuai untuk menjadi wakil rakyat.

“Saya sudah pun berbincang dengannya bahawa perhatian harus diberikan sama rata kepada semua penduduk di Jepak,” katanya.

PRK DUN Jepak menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon GPS, Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

LAIN-LAIN BERITA

SEDAR mahu belajar daripada GPS untuk majukan Sabah

KUCHING: Parti Sedar Rakyat (SEDAR) bersedia untuk mengadakan rundingan kerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Presidennya, Datuk Othman Abdillah berkata, usaha itu bagi memastikan Sedar

Cubaan tiga lelaki curi kereta gagal

KOTA SAMARAHAN: Cubaan tiga lelaki melarikan sebuah kereta di Taman Uni Garden gagal apabila diberkas polis selepas terbabas di Jalan Stutong, pada malam Selasa. Pemangku

BERITA TERBARU

Kesihatan Tze Yong diutamakan BAM – Norza

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil pendekatan tidak terlalu memberi tekanan kepada pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, dalam usaha mengejar slot ke

Lebih 360,000 ngusung Muzium Budaya Borneo

KUCHING: Muzium Budaya Borneo (BCM) ngerikod lebih 360,000 pengusung sepemanjai taun 2023. Menteri Dagang Temuai, Industri Kreatif enggau Seni Pemerindang (MTCP), Datuk Seri Abdul Karim