ARTIKEL

Pang Sock Tao (tengah) menjawab pertanyaan media hari ini ketika ditemui pada sesi ramah mesra di Pasar Karat Batang Kali sempena PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

PRK KKB: Calon PH lancar manifesto minggu depan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HULU SELANGOR: Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao akan melancarkan manifesto sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) minggu depan.

Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata ketika ini, manifesto berkenaan masih pada peringkat perancangan serta penelitian.

“Apabila sudah dilancarkan nanti, seluruh jentera akan bekerja keras bagi memastikan masyarakat di sini tahu dan mempunyai maklumat mengenai apa tawaran yang kita akan berikan kepada mereka.

“Semestinya ini juga satu cabaran kerana penyandang (mendiang Lee Kee Hiong) menjalankan tugas dengan baik dan amat aktif dengan kegiatan masyarakat di sini.

“Jadi selain tawaran manifesto, saya akan berusaha untuk kekalkan momentum itu termasuk hubungan baik dengan semua ketua kampung dan ahli majlis demi kesejahteraan rakyat,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo ke Majlis Penyerahan Borang Penubuhan Cawangan DAP Melayu baharu di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu di sini hari ini.
 
Ditanya mengenai penerimaan pengundi Melayu di kawasan DUN itu kepada beliau yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Pang berkata sambutan mereka amat baik.

“Setakat ini, saya sudah ke kawasan Melayu di sekitar Batang Kali dan sambutan mereka amat baik malah banyak memberikan ucapan, kata-kata semangat dan galakan sekali gus memberikan keyakinan kepada saya untuk mempertahankan kerusi KKB ini,” katanya.

Mengulas mengenai status sebagai calon bukan anak tempatan, Pang berkata ia tidak menjadi isu kerana KKB bukanlah asing baginya kerana pernah mengikuti gerak kerja Lee termasuk menyantuni masyarakat di kawasan itu.

“Sayapun orang Selangor, belajar pun di Selangor, hati saya pun sudah ditawan dengan keindahan Kuala Kubu Baharu ini, cuma cabaran kita ketika ini ialah untuk menarik pengundi luar untuk pulang mengundi,” katanya.

Proses PRK KKB, yang bermula semalam, menyaksikan Pang ditentang tiga pencabar iaitu Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional, Hafizah Zainuddin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian Lee, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser. 

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei dan 7 Mei sebagai pengundian awal. – BERNAMA

BERITA LAIN

Polis buru 10 ahli kumpulan jenayah terancang

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan 10 individu disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah di sekitar Selangor. Pengarah Jabatan Siasatan

BERITA TERBARU

Penyulut SPM meri pengaga ngagai semua

KUCHING: Bulih pemutus peresa nyulut ba Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ukai penyulut siku orang aja tang nya penyulut semua raban. Nembiak Sekula Sekondari (SMK)