ARTIKEL

PRK Kuala Kubu Baharu: Pengundi kembar terkejut jumpa calon PH juga bersama kembarnya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HULU SELANGOR: Keterujaan pasangan kembar mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khing Ming pagi ini, tambah melonjak apabila tanpa disangka mereka dapat bertemu dengan satu lagi pasangan kembar di pusat mengundi berkenaan, yakni calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao sendiri, bersama kembarnya Pang Sock Ying.

Chan Sher Er dan kembarnya Chan Sher Ni, 25, yang baru selesai menunaikan mengundi pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu jam 8.30 pagi, jelas tidak menyangka akan dapat bertemu calon PH itu bersama-sama kembarnya.

Pang, 31, yang ditemani kembarnya itu berada di pusat mengundi sekolah berkenaan meninjau perjalanan proses pengundian, dan kesempatan itu dimanfaatkan kedua-dua pasangan kembar berkenaan untuk bergambar sebagai kenangan.

“Ini kali kedua kami mengundi dan saya juga agak terkejut kerana rupa-rupanya salah seorang calon yang bertanding juga kembar macam kami, kami agak teruja,“ kata Sher Ni kepada pemberita ketika ditemui di pusat pengundian itu. 

Sementara itu, seorang lagi pengundi Yap Yu Heng, 19, yang pertama kali terlibat dalam proses demokrasi itu berkata, beliau bersemangat melaksanakan tanggungjawabnya dengan hadir ke pusat pengundian SJKC Khing Ming seawal 7.30 pagi.

“Saya agak teruja kerana pertama kali (mengundi), dan berharap pengundi serta mereka yang sebaya dengan saya keluar awal untuk mengundi… jangan tidur, kita takut petang nanti hujan, nanti terlepas peluang mengundi, rugilah,” katanya. 

Sementara itu SPR memaklumkan setakat 10 pagi ini 18.05 peratus pemilih menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRK berkenaan.

Sebanyak 18 pusat pengundian dengan 74 tempat mengundi atau saluran bagi PRK itu dibuka serentak pada pukul 8 pagi tadi dan ia akan ditutup pada 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi, ditutup pada 2 petang ini.


PRK KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).


Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Proses pengundian hari ini melibatkan 39,269 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.– Bernama

BERITA LAIN

Malaysia kekal pertahan hak Palestin – PM Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi pendirian bahawa Malaysia kekal mempertahankan hak rakyat Palestin. Beliau berkata pendirian itu turut dinyatakan

Juruteknik mengaku tidak bersalah pukul isteri

PORT DICKSON: Seorang juruteknik yang rakaman video perbuatan dia memukul isterinya menjadi tular di media sosial bulan lepas, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari

BERITA TERBARU