ARTIKEL

PRK Sg Bakap: Peluang sama rata bagi calon anak jati PKR dan PAS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

GEORGE TOWN: Dua gabungan politik terbesar negara mengatur strategi dengan mempertaruhkan anak jati tempatan dalam gelanggang PRK DUN Sungai Bakap yang akan membuka tirai secara rasmi Sabtu ini.

Dengan misi meraih sokongan pengundi tempatan, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di bawah ‘khemah’ Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin, 60, daripada PKR manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail, 56, sebagai calon mewakili mereka.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik UKM, Jamaie Hamil berpandangan kedua-dua calon berada pada posisi yang mampu menyakinkan pengundi berdasarkan pengalaman kemasyarakatan, anak jati dan majoriti yang dimenangi pada PRN lepas.

Beliau berkata, pengalaman Joohari lebih kepada tugas sebagai seorang penjawat awam dan pendidik manakala Abidin berpengalaman dalam parti serta kerja sosial, namun kedua-dua mereka berpotensi mencetuskan nilai sentimen kepada pengundi Sungai Bakap kerana anak jati tempatan.

Bagaimanapun penganalisis politik itu berkata jika melihat daripada sudut akademik, peluang lebih memihak kepada Joohari kerana merupakan pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dalam pengurusan dan kepimpinan pendidikan dari USM seterusnya menggambarkan tahap keintelektualan yang mungkin jadi taruhan golongan pertengahan dan anak muda

“Biasanya orang ramai kalau hendak pilih calon, mereka tengok anak tempatan, tahap pendidikan dan pengalaman kerja atau bagaimana menangani hal-hal kemasyarakatan kerana itu menggambarkan tingkah laku apa yang akan dilakukan seseorang apabila menang di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Meskipun berkemungkinan terdapat saingan tiga penjuru, namun Jamaie menyifatkan PRK Sungai Bakap sebagai pentas pertembungan sengit antara PH-BN dan PN kerana perbezaan majoriti pada pilihan raya tahun lepas hanya 1,563 undi.

Selain itu katanya, PKR pasti ingin merampas kembali kerusi yang dimenangi selama tiga penggal dari 2008 sebelum ia terlepas ke tangan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lepas, dan PAS pula tentu sahaja mahu mempertahankan kerusi itu. 
“Majoriti lebih 1,500 undi bukan kawasan putih pada yang menyandang manakala bukan hitam kepada yang bersaing. Jadi maksudnya mana-mana parti yang setaraf ada peluang untuk menang di situ sebab ia boleh dikatakan kelabu. Jika majoriti 2,000, itu baru kawasan hitam,” katanya.
Joohari yang dinamakan sebagai Calon Perpaduan merupakan bekas guru dan dilantik sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara pada 4 April 2018 sebelum menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam pada 1 Sept 2023, sementara calon Abidin pula bertugas dalam bidang logistik dan pembantu kepada penyandang kerusi Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Sementara itu, Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Jayum Anak Jawan menyifatkan PRK DUN Sungai Bakap bukan pertandingan individu tetapi persaingan antara pihak yang mewakili ideologi dan parti iaitu antara PH dan PN atau PAS dan PKR.

“Ia juga mengenai ujian berkenaan sokongan kaum Melayu bagi parti PKR dan PAS,” katanya.

Profesor Sains Politik UPM itu berkata jika PH-BN menang di DUN Sungai Bakap, ia merupakan petanda bahawa sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinannya semakin kuat terutama dalam mengemudi negara menuju PRU-16 nanti.

PRK Sungai Bakap dilihat medan penting bagi PKR dan PAS kerana ia bakal menyaksikan sekali lagi pertembungan antara kedua-dua parti berkenaan bagi merebut kerusi sama setelah hampir 10 bulan selepas PRN 2023.
SPR menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai. 

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri daripada PAS pada 24 Mei lepas berikutan mengalami keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

– Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU