ISU bila PRN-12 semakin hangat dibicarakan oleh semua pihak khususnya orang parti, sama ada pemerintah mahupun pembangkang.
Ertinya, hari besar itu sudah semakin dekat.
Mungkin bulan depan, dua bulan lagi atau awal tahun 2021… tidak pasti.
Tetapi apa yang pasti, kaedah pelaksanaan PRN-12 mungkin 360 darjah berubah ekoran impak pandemik Covid-19.
Banyak perkara yang akan disesuaikan mengikut norma baharu.
Sebagai pengundi atau jentera parti, adakah kita bersedia?
Salah satu aspek penting berkait dengan pengundi atau jentera parti ialah kempen.
Ya, usaha kedua-dua pihak untuk meraih undi.
Apa yang dijangkakan, kaedah kempen pada PRN-12 lebih memanfaatkan teknologi terkini iaitu saluran media sosial dan sebagainya.
Kerana, kaedah kempen secara bersemuka mungkin amat terbatas selari dengan amalan norma baharu.
Tetapi, apa yang dirisaukan ialah manipulasi media sosial dengan kempen cara tidak sihat yakni fitnah, pembohongan dan putar belit fakta.
Justeru, integriti jentera parti sama ada di kem pemerintah mahupun pembangkang amat ditagih agar sentiasa berpaksikan kebenaran.
Pun begitu, perkara ini kiranya akan menjadi satu cabaran besar.
Penulis tidak menolak kempen menerusi media sosial mungkin lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
Isu utama, adakah undang-undang mampu meredakan kebebasan di media sosial? Kerana selama ini kita masing-masing melihat fitnah, pembohongan dan putar belit fakta oleh pihak tidak bertanggungjawab cukup bertaburan di media sosial.
Kita takut, fitnah, pembohongan dan putar belit fakta akan menang.
Oleh itu selain undang-undang, jentera parti daripada mana-mana pihak harus bersikap telus dan jujur ketika berkempen.
Betul, kita boleh memenangkan parti dengan fitnah, pembohongan dan putar belit fakta.
Tetapi di manakan maruah parti? Contoh jelas selepas PRU-14, PH sebelum bergelar kerajaan menjanjikan pelbagai perkara menerusi manifesto mereka sehingga ada yang tidak masuk akal untuk dilaksanakan.
Apabila mereka menang dan membentuk Kerajaan Persekutuan pada Mei 2018, apa yang mereka mampu lakukan? Rakyat, tepuk dada tanya selera.
Hapus pinjaman PTPTN? Minyak RM1.50? Habuk pun tiada.
Mereka malah memotong banyak perbelanjaan dan Sarawak ketika itu amat terkesan selepas banyak projek pembangunan dibatalkan.
Inilah yang kita hendak elak, jangan sesekali kita menegakkan pembohongan dan putar belit fakta kerana ia hanya merugikan rakyat.
Maka, amat penting untuk kita sentiasa berpaksikan kepada kebenaran. Dalam pada itu, rakyat sebagai pengundi juga diharap tidak mudah terpengaruh.
Pastikan kita mempercayai bahan di media sosial yang datangnya daripada sumber yang sahih.
Apa sahaja berita yang diperoleh, kita perlulah bertabayun atau menyemak dengan lebih teliti.
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidiklah dulu untuk menentukan kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum itu dengan perkara yang tidak diingini. Dengan sebab kejahilanmu mengenainya sehingga menjadikan kamu menyesal atas perbuatanmu itu,” – al-Hujarat ayat 6.
Penulis mengakui, perkara ini subjektif, masing-masing mempunyai pandangan tersendiri.
Tetapi biarlah kita menyokong pihak yang berlaku jujur, telus dan benar.
Bersedialah, kem pembangkang pada masa kempen kelak mempunyai pelbagai jenis peluru untuk menumbangkan parti pemerintah.
Nilaikan sebaiknya agar kita tidak memilih kesengsaraan, agar kita tidak memilih kerosakan, agar kita tidak memilih perpecahan.
Fikirkan, Kerajaan GPS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg lebih tiga tahun bukan kerajaan yang tidak mampu melaksanakan.
Beliau cakap, beliau buat biarpun ada kala ia memerlukan masa.
Percayalah kemampuan Kerajaan GPS selepas banyak pembangunan yang kita nikmati selama ini.
Ditambah mereka mempunyai barisan kepimpinan yang benar-benar bekerja untuk Sarawak dan rakyatnya.
Apa jua yang berlaku menjelang hari-hari menuju PRN-12, marilah bersama kita mengelakkan fitnah, pembohongan dan putar belit fakta.
Berhati-hati walaupun media sosial memudahkan, tetapi jangan kita lupa ada pihak yang mungkin menggunakannya secara tidak berintegriti.
Kita orang Sarawak, jaga Sarawak bait-bait!