KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak digantung dan perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat Sarawak dibatalkan atau diungkaikan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata SPR mengambil maklum akan kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 31 Julai lalu berhubung pengisytiharan Proklamasi Darurat (Sarawak) oleh Yang diPertuan Agong.
Katanya keputusan itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi menggantung pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Proklamasi ini hendaklah meliputi seluruh Sarawak mulai 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022.
Sehubungan itu juga, Ikmalrudin berkata satu ordinan telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dikenali sebagai Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324.
“Di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324, memperuntukkan bagi tempoh darurat berkuat kuasa peruntukan Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak bahawa Dewan Undangan Negeri terbubar selepas lima tahun daripada mesyuarat pertamanya tidak mempunyai kesan.
“Oleh demikian, memandangkan Proklamasi Darurat (Sarawak) P.U.(A) 323 yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Julai 2021 dan peruntukan Seksyen 3(4) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324 maka Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri digantung dan hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh proklamasi ini dibatalkan atau diungkaikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.