KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian mengakui terkejut dengan pengumuman dua kerusi tradisinya bakal ditandingi parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) lain pada PRN-12 ini.
Walaupun pada mulanya agak kecewa dengan keputusan berkenaan, Dr Sim berkata pihaknya menerima dengan hati terbuka dan akur dengan keputusan tersebut sebagai satu pasukan.
“Saya agak terkejut dan kecewa kerana 24 jam sebelumnya memang kami jangka akan bertanding di 20 kerusi tradisi.
“Tetapi keputusan sudah dibuat oleh pucuk pimpinan GPS. Kami datang sebagai satu pasukan dan atas semangat setiakawan, maka kami tetap menyokong semua calon GPS.
“Justeru itu, fokus utama SUPP kini adalah memenangi 18 kerusi yang diperuntukkan dan berusaha sebaik mungkin,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Penyandang kerusi Dun Batu Kawah pihaknya menerima keputusan tersebut dan akan bergerak bersama-sama demi memastikan kemenangan memihak kepada GPS pada PRN-12.
Dua kerusi tradisi SUPP terbabit ialah Dudong yang bakal ditandingi Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing dan Mambong yang akan ditandingi Datuk Dr Jerip Susil dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Mengulas lanjut, Dr Sim memberitahu daripada 18 calon SUPP, 11 daripadanya merupakan muka calon baharu.