PRN12 diadakan tahun depan – Abang Johari

PADAWAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengesahkan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan diadakan tahun depan.

Katanya mengikut perancangan, pilihan raya akan diadakan tahun ini namun ditunda disebabkan oleh penularan Covid-19.

“Sebenarnya perancangan kami untuk mengadakan lebih awal (PRN12) tetapi disebabkan Covid-19, ia ditunda kerana keutamaan adalah untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-24 Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan pelancaran mural The Last Ring Ladies di Kota Padawan, di sini hari ini.

Bagaimanapun apabila ditanya bulan apakah pilihan raya akan diadakan, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan tidak tahu.

Malah beliau turut menafikan jangkaan bahawa PRN-12 akan diadakan pada Mac.

“Tahun depanlah, tetapi saya tidak tahu bila…sekarang sudah Disember,” katanya.

Suara Sarawak