Produk ayam import tidak sah bernilai RM151,040 berjaya dirampas

KUCHING: Sebanyak 1,713 kotak ayam import tanpa permit dan sijil halal bernilai RM151,040 dirampas di Pelabuhan Senari, semalam.

Hasil serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mendapati akuan adalah tidak benar seperti mana yang diikrar dalam borang Kastam.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata barangan tersebut disusun di belakang kotak sotong beku di dalam sebuah kontena bersaiz 40 kaki.

Menurutnya, kontena yang turut disita itu telah dibawa daripada Hong Kong untuk dipasarkan ke negeri ini.

“Pengimport cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan mengikrar barangan berupa paha ayam sebagai sotong beku namun dapat dihidu pihak berkuasa.

 

“Sepatutnya barangan kawalan memerlukan permit import dari pihak berkaitan dan tertakluk kepada duti Kastam,” jelas beliau dalam kenyataannya semalam.

Sharifah berkata, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 133 Akta Kastam 1967 di mana jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan penalti kerana membuat dokumen palsu.

Tambahnya, kerjasama daripada orang awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan barang larangan amat digalakkan bagi membantu JKDM membanteras aktiviti berkenaan.

Suara Sarawak