Produk Pak Li beracun

KUCHING: Produk Pak Li Medicated Plaster (nombor pendaftaran MAL13115185TC) dikesan mengandungi racun berjadual,

Diphenhydramine. Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pendaftaran produk tradisional tersebut dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada  esyuaratnya
yang ke-341 pada 5 Disember lalu.

Menurutnya, pembatalan tersebut berikutan pengesanan racun berjadual di dalam produk berkenaan yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

“Diphenhydramine merupakan sejenis antihistamin yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan hanya boleh diperoleh daripada doktor atau ahli farmasi.

“Diphenhydramine digunakan untuk melegakan reaksi alahan.

Kesan sampingan diphenhydramine yang digunakan secara topical termasuk ruam, gatal-gatal serta peningkatan kepekaan terhadap cahaya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dr Noor Hisham menambah, penjualan dan pengedaran produk ini perlu dihentikan dengan serta-
merta.

“Penjualan dan pengedaran produk ini melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan beri-
kutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” jelasnya.

Orang awam juga katanya, boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang http://www.npra.gov.my atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store.