
KUCHING: Kerajaan Persekutuan bakal menubuhkan pavilion khusus kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Sarawak untuk mempamerkan dan menjual produk mereka.
Bakal ditubuhkan di Lalaport Pusat Bandar Bukit Bintang, Kuala Lumpur ia merupakan komitmen Kementerian Usahawan dan Pembangunan Koperasi (KUSKOP) bagi membantu IKS dan PKS di Sarawak.

Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata salah satu agensi di bawah kementeriannya membangunkan pusat keusahawanan tersebut di salah sebuah pusat tumpuan di Kuala Lumpur.
“Pada masa akan datang, setelah ia siap nanti diharapkan agar Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dapat berkunjung ke sana dan melancarkan pavilion tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Timbalan Premier merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Pada masa sama, Ewon berkata mulai tahun ini, kementeriannya memberi penekanan tambahan kepada Sarawak dan Sabah sambil tidak mengurangkan fokus asal kepada negeri- negeri lain di Malaysia.
“Dalam perancangan tahun ini, kita menyediakan empat projek atau program khas kepada Sabah dan Sarawak manakala selebihnya sebanyak 185 program atau projek pembangunan usahawan ditawarkan kepada semua komuniti usahawan yang layak.
“Justeru saya berharap tahun-tahun akan datang, kita akan mendapat input dan cadangan daripada pimpinan negeri khususnya di Sarawak dalam membantu merangka belanjawan dan program lebih baik kepada komuniti usahawan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengalu-alukan kesediaan Kerajaan sarawak menyokong Majlis Pembangunan Usahawan Koprasi dan Penjaja Peniaga Kecil Peringkat Daerah yang dicadangkan untuk ditubuhkan.
Katanya, bagi penubuhan tersebut, KUSKOP akan menyediakan sejumlah geran pentadbiran supaya segala input, isu dan permasalahan di lapangan dapat ditangani dengan baik yang turut melibatkan Kerajaan Negeri.