PRODUK S’wak terbang ke Semenanjung

SELAIN merindui keluarga nun jauh di Sabah dan Sarawak, penduduk kedua-dua negeri itu di Semenanjung sudah pasti sentiasa ‘mengidam’ produk makanan dan minuman yang hanya sinonim dengan negeri di Borneo itu.

Kekangan jarak, ditambah dengan kos penerbangan yang tinggi biasanya menyebabkan
ramai penduduk dari Negeri Di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang hanya mampu memesan produk asal negeri mereka melalui rakan atau keluarga yang pulang ke kampung.

Jika memesan melalui kiriman pos atau kargo pula, kekangannya ialah kos tinggi sehingga membataskan kuantiti produk yang mampu dibeli.

Bagaimanapun, perantau Sabah dan Sarawak di Lembah Klang kini sudah boleh tersenyum apabila aneka produk keluaran negeri mereka boleh didapati dengan mudah menerusi dua cawangan Solo Borneo Mart di Puchong Prima dan Alam Damai Cheras, yang dibawa ke Semenanjung merentasi Laut China Selatan.

Diusahakan Mohd Razlan Mohamed Yusof atau lebih dikenali Lan Solo, penyanyi berkenaan menceritakan beliau dan isteri, Sheila Razlan, mendapat ilham membuka kedai itu apabila sering menerima pesanan makanan popular Sabah dan Sarawak setiap kali membuat persembahan di negeri berkenaan.

Lan berkata, pada awalnya beliau hanya mengambil pesanan secara kecil-kecilan dan dibawa bersama dalam kargo syarikat penerbangan (luggage) ketika kembali dari Sabah atau Sarawak, sebelum dijual di sebuah kedai kecil yang disewa di Puchong.

Beliau kemudiannya berpindah ke kedai yang lebih besar di kawasan

Walaupun beliau dan isteri bukan berasal dari Sabah atau Sarawak, Lan berkata beliau mempunyai banyak keluarga angkat di kedua-dua negeri tersebut yang turut menjadi pembekal produk makanan dan membantu beliau dalam urusan mendapatkan stok.

Katanya, beliau amat berbesar hati dapat memenuhi permintaan ramai penduduk Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu yang teringin mendapatkan produk makanan yang sudah pasti tidak dapat ditemui di Semenanjung dan pada masa sama, membantu pengusaha kecil-kecilan di kedua-dua negeri itu memasarkan produk di sini.

“Mereka sangat bangga bila saya dapat pasarkan produk-produk mereka terutama macam kuih cincin, kuih lidah, amplang di sini.

Para pengusaha dan pembekal merasa sangat dihargai apabila kita perkenalkan barangan Borneo yang selama ini sukar didapati di sini,” katanya.

Selain turut menjual produk melalui aplikasi Shopee dan khidmat penghantaran terus, Lan juga merancang membuka beberapa lagi cawangan di kawasan tumpuan rakyat Sabah seperti di Klang dan Ampang di Selangor serta Johor dan Pulau Pinang.

“Selagi apa yang kami buat ini bermanfaat untuk mereka, mendapat sokongan daripada rakyat Sabah dan Sarawak yang ada di Semenanjung, kami akan teruskan dan besarkan lagi perniagaan kami bagi memudahkan yang jauh-jauh untuk dapatkan bekalan itu,” katanya.

Antara lebih 200 produk makanan yang dijual di kedai berkenaan ialah kicap cap ayam, belacan Sabah, aneka jenama mi kering, ikan terubuk masin, mi kolok kering, pes laksa Sarawak, amplang, kuih cincin serta pelbagai snek dan makanan ringan selain produk homemade seperti tuhau dan jeruk bambangan.

Menceritakan lanjut, Lan berkata beliau kerap turun ke kedua-dua negeri berkenaan untuk mendapatkan stok produk, selain berkunjung ke kawasan pedalaman di Sabah misalnya ke Beaufort untuk mendapatkan sagu, Papar (kuih cincin dan belacan), Lahad Datu (amplang) selain di Kuching, Sarawak untuk mendapatkan ikan terubuk.

Beliau turut faham betapa produk runcit makanan Sabah dan Sarawak yang berbeza dari Semenanjung, mempunyai kenangan dan nilai sentimental kepada rakyat negeri berkenaan dan tidak hairanlah Lan sendiri tidak sekadar menjual, tetapi turut mempelajari naluri dan kehendak orang Borneo dengan merasa sendiri pelbagai produk makanan tersebut.

“Saya faham mereka dibesarkan dengan makanan ini.

Malah pernah ada pelanggan yang terharu dan menangis apabila masuk ke kedai ini dan melihat produk makanan ‘wajib’ sejak kecil lagi di negeri mereka,” katanya dan menambah, produk makanan berkenaan turut mendapat sambutan orang Semenanjung.

Suara Sarawak