Program “Aluih Pa’a Dana” ketengah seni kraftangan Melanau Mukah

MUKAH: Sebagai usaha mempromosikan kraftangan Melanau serta memberikan pendekatan warisan kraftangan Melanau kepada komuniti belia dan penduduk setempat, buat julung kalinya satu program bertajuk Aluih Pa’a Dana anjuran Biro Impian Mukah bakal diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Tellian Ulu Mukah pada 1 Februari.

Menurut pengelola program Lyona Stephen, objektif utama program tersebut ialah untuk mempromosikan kraftangan Melanau dan membentuk sikap kerjasama dalam satu pasukan sebagai sebuah komuniti Melanau di Mukah.

“Program ini bakal diadakan pada 1 Februari dan melibatkan beberapa bengkel kraftangan Melanau antaranya Bengkel membuat Bulieng, Bengkel membuat I’d (kipas daun nipah), Bengkel membuat Upak, Bengkel membuat Topeng dan bengkel membuat Jengayak.

“Bengkel selama sehari ini bakal disertai oleh 30 orang peserta, yang terdiri dari sekitar Mukah,” katanya kepada Suara Sarawak.

Tambahnya lagi, Lyona turut berharap program sedemikian dapat memberi pendekatan dan mengekalkan keaslian adat Budaya Melanau dengan penglibatan pelbagai golongan dalam program berkenaan.

“Adalah diharapkan bengkel ‘Aluih Pa’a A Dana ini mendapat kerjasama yang jitu dari semua pihak dan setiap pihak memperoleh manfaat dari program yang penuh bermakna ini.

“Program ini juga pertama kali kita buat dan diharapkan mendapat sokongan dan penglibatan aktif dari semua pihak,” jelasnya.

Dalam pada itu program ini juga bakal dihadiri oleh Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Tun Taib dan Adun Tellian Yusibnosh Balo.

Suara Sarawak