
KUCHING: Persatuan Bola Sepak Bahagian Bintulu (BIFA) akan menganjurkan beberapa program sepanjang tahun 2023.
Usaha ke arah itu sebagai langkah memperkasa pembangunan sukan bola sepak di bahagian terbabit.
Timbalan Presiden BIFA Awang Madihi Awang Yatim menegaskan, fokus awal pihaknya untuk menganjurkan Liga Bintulu.
Di samping, akan disusuli penganjuran kejohanan futsal lelaki dan wanita. Selain, penganjuran kursus kejurulatihan, pengadil dan sebagainya.
“Beberapa kejohanan termasuk program lain berada dalam perancangan kita untuk dianjurkan.
“Fokus utama terarah kepada penganjuran Liga Bintulu 2023, selain kejohanan futsal lelaki dan wanita,” ujar Awang Madihi kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengakui, tarikh untuk penganjuran program berkenaan belum diputuskan lagi.
“Segalanya bergantung kepada perbincangan pada mesyuarat membabitkan semua Exco BIFA yang akan diadakan awal tahun depan,” tambahnya.