ARTIKEL

Program Connecting Jepak perkukuh capaian internet

Program Connecting Jepak perkukuh capaian internet

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM5 juta untuk melaksanakan Program Connecting Jepak berasaskan teknologi jalur lebar satelit bagi memperkukuh capaian internet dan sistem komunikasi penduduk di kawasan rumah panjang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, program berkenaan bukan sahaja bertujuan merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar, malah menyediakan sistem komunikasi alternatif yang lebih berdaya tahan ketika berlaku bencana atau gangguan rangkaian.

Julaihi menyentuh skrin tablet secara simbolik melancarkan Program Connecting Jepak.

Beliau berkata, tinjauan di kawasan DUN Jepak mendapati sebanyak 74 rumah panjang dikenal pasti, dengan lapan daripadanya mempunyai nilai Reference Signal Received Power (RSRP) yang rendah, menunjukkan kekuatan isyarat yang lemah.

Katanya, ujian kelajuan turut mendapati kelajuan muat turun di lokasi terbabit berada di bawah 35 megabit sesaat (Mbps), sekali gus menunjukkan prestasi rangkaian yang masih belum optimum.

“Keadaan ini menjadi lebih mencabar ketika banjir besar di Bintulu baru-baru ini apabila kawasan yang mempunyai liputan sedia ada turut mengalami gangguan sehingga menyebabkan komunikasi terputus sepenuhnya.

“Situasi ini menunjukkan kita bukan sahaja memerlukan capaian internet, tetapi juga sistem komunikasi yang lebih berdaya tahan dan boleh menjadi alternatif apabila infrastruktur biasa terjejas, khususnya ketika bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Connecting Jepak di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Julaihi berkata, penggunaan teknologi jalur lebar berasaskan satelit membolehkan capaian internet disediakan di kawasan yang sukar dicapai melalui infrastruktur telekomunikasi konvensional.

Menurutnya, kemudahan berkenaan turut penting bagi memastikan komunikasi dapat diteruskan ketika berlaku gangguan rangkaian, terutama dalam situasi kecemasan yang memerlukan penyampaian maklumat dan penyelarasan bantuan dilakukan dengan pantas.

“Pembangunan digital bukan sekadar menyediakan peralatan atau sambungan internet, sebaliknya kita mahu memastikan kemudahan itu benar-benar memberi manfaat dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Dengan capaian internet yang lebih baik dan stabil, anak-anak kita dapat mengakses pembelajaran dalam talian dengan lebih mudah, manakala usahawan tempatan berpeluang memperluas perniagaan menerusi platform digital dan e-dagang,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan internet yang lebih baik turut membolehkan masyarakat berhubung dengan keluarga, mendapatkan maklumat penting dengan pantas, mengakses perkhidmatan kerajaan dalam talian serta berkomunikasi dengan pihak berkuasa ketika kecemasan.

Dalam pada itu, Julaihi menyeru masyarakat setempat supaya bersama-sama menjaga aset dan kemudahan yang disediakan menerusi projek berkenaan serta menggunakannya sepenuhnya untuk manfaat komuniti.

Tegasnya, vandalisme, kecurian kabel, kerosakan dan penyalahgunaan aset bukan sahaja boleh mengganggu perkhidmatan, malah memberi kesan kepada kehidupan harian serta pembangunan ekonomi setempat.

“Kita mahu memastikan di mana sahaja rakyat Sarawak berada, sama ada di bandar, luar bandar atau kawasan pedalaman, mereka mempunyai peluang untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital dan menikmati manfaat pembangunan wilayah Sarawak,” ujarnya.

Julaihi turut merakamkan penghargaan kepada ADUN Jepak, Iskandar Turkee, Pusat Khidmat ADUN Jepak, Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), ketua masyarakat dan ketua kaum serta semua pihak yang terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan projek berkenaan.

Julaihi merakamkan gambar bersama kenamaan dan tetamu jemputan sempena pelancaran Program Connecting Jepak.

BERITA LAIN

Maklumat dasar kerajaan perlu sampai ke akar umbi

BINTULU: Penyampaian maklumat mengenai dasar, inisiatif pembangunan dan bantuan kerajaan perlu diperluas hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat mengetahui serta dapat memanfaatkan kemudahan

BERITA TERBARU