KUCHING: Program Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2021 Peringkat Negeri Sarawak dengan tema Bahasa Jiwa Bangsa akan bermula dari bulan Mei hingga November ini.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak Abang Haliman Abang Julai berkata, penganjuran program itu berfokus kepada empat objektif iaitu menyerlahkan jati diri dan citra bangsa Malaysia menerusi bahasa dan sastera kebangsaan serta mempersegar kecintaan dan kemegahan terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Selain itu katanya, ia bertujuan mengeratkan dan memperkukuhkan perpaduan bangsa menerusi kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan, serta menyerlahkan fungsi dan peranan bahasa dan sastera sebagai salah satu tonggak pembinaan tamadun bangsa dan negara.
“Berlandaskan objektif itu, kami telah merangka pelbagai aktiviti termasuk Seminar Kebitaraan Negeri Sarawak, Sayembara DEKON Piala Ketua Menteri Sarawak 2021, Sayembara Monodrama 2021 Peringkat Negeri Sarawak, Pertandingan Ulasan Tempat Menarik di Sarawak, Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2021 Peringkat Negeri Sarawak, Pertandingan Forum Kepenggunaan Generasi Z (GZ), Pertandingan Bina Ayat daripada Peribahasa dan Esei Integriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2021 Peringkat Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Abang Haliman menambah, salah satu program yang begitu bermakna di bawah program Kempen Dekad Bahasa Kebangsaan turut dilaksanakan iaitu Kempen Dekad Membaca Kebangsaan dengan tema Malaysia Membaca.
“Kelompok untuk program ini cukup meluas iaitu melibatkan pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, pelajar IPTA, masyarakat umum, penjawat awam dan belia,” jelasnya beliau lagi.
Antara aktiviti yang akan dilaksanakan dalam program ini termasuk Pertandingan Resensi Buku Ala Pidato, Pertandingan Bercerita Kanak-Kanak, Bicara Pusaka Bangsa, Siri Biografi Karyawan Sarawak, Peraduan Teka Silang Kata, Bina Kata dan Kosa Kata, Kempen Membaca: Bacaan 5 Minit, serta Sayembara Penglipur Lara Cerita Rakyat Sarawak.
Beliau memberitahu, susulan daripada pandemik Covid-19, kebanyakan kegiatan akan disalurkan melalui maya, selain pelaksanaan menggunakan gabungan.
“Misalnya, persembahan akan dilaksanakan di DBP dan disebar melalui Facebook, Instagram dan sebagainya, bergantung kepada keadaan.
“Maklumat mengenai penyertaan semua aktiviti dalam program itu akan dimaklumkan oleh pihak urus setia DBP melalui media akhbar atau media sosial DBP.