Program Diploma Pengeluaran Herba UiTM lulus MQA-02

KUCHING: Program Diploma Pengeluaran Herba di bawah Fakulti Perladangan dan Agroteknologi di Universiti Teknologi Mara Kampus Mukah telah lulus audit Akreditasi Penuh (MQA-02) dengan markah cemerlang sebanyak 90.26 peratus.

Menurut kenyataan media UiTM, program audit diadakan secara dalam talian yang melibatkan sesi temu duga bersama pengurusan fakulti, para pensyarah dan pelajar-pelajar program diploma berkenaan.

“Hasil daripada sesi temu duga tersebut, pihak panel audit telah merumuskan bahawa program tersebut mempunyai banyak kekuatan dan bebas daripada bidang yang memerlukan perhatian serta melibatkan enam perkara perkara yang perlu dilaksanakan penambahbaikan,” katanya.

Jelasnya, audit akreditasi itu telah diketuai oleh Prof. Madya Dr Rezianna Muhammed Kassim bersama dua orang panel penilai iaitu Ts. Dr. Mohd Rozaiman Aziz dan panel penilai luar Fiza Hanif Zainon serta Dr Zalilah Abd Aziz.

Selain itu, Ketua Akreditasi Program (Sains dan Teknologi) daripada pihak Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) UiTM Shah Alam yang turut hadir semasa audit lokasi secara dalam talian dijalankan.

Program berkenaan dimulakan dengan mesyuarat pembukaan oleh Timbalan Rektor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dr. Firdaus Abdullah.

Turut hadir, Prof Madya Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini, Dekan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi Prof Madya Dr. Mohamad Isa Mohamadin, Timbalan Rektor (HEP) Prof Madya Dr Abang Zainoren Abang Abdurahman, dan Timbalan Rektor (PJI) Dr. Khadijah Khalid.