Program DiStA beri peluang pelajar Sarawak kembangkan bakat dalam kreativiti pembuatan digital

KUCHING: Program Kem Inisiatif Animasi Bercerita Secara Digital (DiStA) mengembangkan peluang untuk pelajar Sarawak mempamerkan kemahiran kreativiti pembuatan digital sekali gus menyediakan kemudahan untuk bersaing ke peringkat antarabangsa.

Kem yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) melalui Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Sarawak (MESTR) dengan kerjasama Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) yang bermula pada tahun 2019.

Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak berkata, Program Kem DiStA 2019 telah disertai 70 buah sekolah dari Kuching, Mukah, Bintulu yang melibatkan 140 orang pelajar.

“Melalui pendidikan STEM dan ICT di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi, kita dapat mencungkil lebih banyak bakat mereka hingga ke akar umbi.

“Dengan ini, kita dapat mengembangkan industri kreatif dalam bentuk kandungan kreatif digital dan juga permainan video sebagai pemacu utama ekonomi digital Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya, usaha itu seiring dengan Agenda Ekonomi Digital Sarawak 2018 yang telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg iaitu pengembangan bakat melalui penekanan dan peningkatan sistem infrastruktur pendidikan negara melalui STEM.

Tambah beliau, lebih membanggakan apabila dua orang pelajar pelajar kita Macgres Sawet dan Nabiatul Dania telah dinobatkan sebagai juara filem animasi terbaik ‘Batuh Bijanji’ di Festival Internacional de Cinema Escolar de Alvoradar (FECEA) 2020, Brazil baru-baru ini.

Dengan bimbingan dan inspirasi guru mereka Mohd Reduan Patah dan Wan Zulfadli Ad-Dinnie Wan Azmi berjaya menghasilkan filem yang telah menarik perhatian juri popular kategori sekolah rendah.

Suara Sarawak