KUCHING: Sebanyak 23 program e-Dagang telah dilaksanakan di seluruh Sarawak yang memanfaatkan 621 orang belia termasuk di bahagian Serian.
Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais berkata, terdapat pelbagai inisiatif kerajaan bagi menggalakkan golongan belia dalam perniagaan digital.
“Empat inisiatif Kerajaan Sarawak ialah kursus ‘dropshipping’ Shopee, pencapaian cemerlang Kenyalang Digital, bengkel usahawan Youtubers, kursus Tiktok dan Instagram perniagaan.
“Selain itu, kementerian juga menyediakan geran berjumlah RM5,000 untuk usahawan muda mempromosikan produk jualan mereka melalui platform e-dagang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Kedup, Martin Ben mengenai inisiatif kerajaan bagi menggalakkan golongan belia supaya menceburi bidang perniagaan secara digital dalam Persidangan Dun di sini, semalam.
Tambah beliau, jumlah geran tersebut untuk usahawan membuat promosi melalui Shopee, Lazada, Alibaba, dan Helpy.
Manakala e-pembayaran pula menggunakan Boost, Sarawakpay, Touch’n’go dan Grabpay.
Jelasnya, pemberian geran itu adalah secara bayaran balik.