Program imunisasi: 70,000 sudah mendaftar di Mukah

MUKAH: Lebih 70,000 penduduk di Bahagian Mukah kini telah mendaftar untuk divaksin menerusi Program Imunisasi Kebangsaan yang dijangka dimulakan pertengahan bulan ini.

Residen Bahagian Mukah Hamdiah Bakir berkata, daripada jumlah itu sekitar 12,000 penerima adalah dari Daerah Daro. Beliau turut berharap orang ramai tidak ragu-ragu menerima vaksin tersebut dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“Kita menggesa masyarakat di Daro yang telah mendaftar agar tidak perlu ragu-ragu menerima suntikan vaksin Covid-19 ini. “Kita juga yakin Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) peringkat daerah telah melakukan persiapan dengan sebaik-baiknya bagi melancarkan program imunisasi kebangsaan terutamanya dari segi jumlah tenaga kerjanya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa bersana-sama CITF Bahagian Mukah meninjau persiapan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Masyarakat Daro pada Rabu.

Menurut Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah Dr Huzaimah Hussien yang juga pengerusi bersama CITF Bahagian Mukah,  pihaknya telah bersedia untuk melancarkan program tersebut dengan lima PPV di Bahagian Mukah.

“Pihak kami di bahagian kesihatan bersama CITF bahagian dan daerah akan memastikan pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 berjalan dengan lancar.

“Bagi Bahagian Mukah, kita mempunyai lima pusat pemberian vaksin dan kita berharap penduduk memberikan kerjasama kepada program ini,” katanya lagi.

Suara Sarawak