ARTIKEL

Billy Sujang (tengah) melancarkan Program Jerayawara Pro-DR TEGAS Siri Ke-9 di Dewan Masyarakat Lundu, hari ini.

Program Jerayawara Pro-DR TEGAS Siri Ke-9 bukti kesungguhan kerajaan bangun modal insan melalui pendidikan berkualiti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LUNDU: Kerajaan perlu memberi perhatian kepada akses dan kualiti pendidikan bagi memastikan pelajaran benar-benar mampu mengubah kualiti hidup dan sosioekonomi rakyat di segenap pelosok kawasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, berkata kerajaan perlu memastikan sistem pendidikan negara relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan untuk mampu melahirkan individu yang berdaya saing pada peringkat global.

“Pendidikan merupakan asas kepada pembentukan individu yang berilmu, berakhlak dan berkemahiran tinggi.

“Ia adalah kunci kepada pembangunan diri dan masyarakat secara keseluruhannya.

“Pada masa yang sama membuka pintu kepada pelbagai peluang dan memberi jalan bagi menghadapi cabaran hidup dengan lebih berkesan.

“Dalam erti kata lain, pendidikan adalah pemangkin kepada perubahan kualiti hidup, khususnya taraf ekonomi kita,” katanya.

Billy, yang juga Ahli Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Program Jerayawara Pro-DR TEGAS Siri Ke-9 di Dewan Masyarakat Lundu, hari ini.

Mengulas lanjut, ujarnya, dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh melalui pendidikan, seseorang boleh mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan tinggi.

“Semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang ekonomi, geografi atau sosial, perlu diberi peluang sama rata untuk mendapatkan akses pendidikan yang berkualiti kerana ia merupakan ejen perubahan terbaik.

“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup individu tersebut, tetapi juga membantu mengurangkan kadar kemiskinan dalam masyarakat,” ujarnya.

Tambahnya, pendidikan juga berupaya membentuk pemikiran yang kritis serta kemahiran dalam
menyelesaikan masalah, selain mengajar menganalisis situasi, membuat keputusan bijak dan tepat serta mencari penyelesaian efektif dan inovatif.

Mengulas tentang program berkenaan, Billy memberitahu bahawa ia merupakan bukti kesungguhan Kerajaan Sarawak melalui TEGAS dalam usaha membangunkan modal insan di negeri ini.

“Zaman saya dahulu, pelajar perlu mencari sendiri tempat untuk melanjutkan pengajian, namun sekarang sangat berbeza kerana pelbagai pihak, termasuk Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lundu, menyediakan kemudahan program sebegini yang menawarkan peluang untuk mencari institusi pengajian tinggi (IPT).

“Justeru, sudah tiba masanya untuk semua merebut peluang merancang jurusan dan kursus yang sesuai dengan kelayakan, bagi memastikan Sarawak mencapai status wilayah maju menjelang 2030,” tegasnya.

Katanya lagi, ia juga memberi akses pendidikan tinggi mahupun peluang pekerjaan kepada lebih ramai golongan muda, untuk mengurangkan lagi jurang antara pelajar dengan belia di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Program yang berlangsung di Lundu itu melibatkan penyertaan sebanyak 22 agensi IPT, dan seterusnya ia akan bergerak ke 14 lokasi lain di seluruh Sarawak.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TEGAS, Udin Bujang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU