
PADAWAN: Aktiviti gotong-royong sempena Program jiwa murni anjuran Rejimen Semboyan Divisyen Pertama Infantri di Kampung Annah Rais merapatkan lagi hubungan silaturahim antara anggota tentera dengan masyarakat.
Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi Datuk Willie berkata, inisiatif tersebut amat dialu-alukan, di samping pihak tentera dapat berkongsi idea dan pendapat bersama masyarakat.
“Masyarakat juga boleh memahami peranan dan tugasan tentera sekali gus menangkis tanggapan tidak baik terhadap mereka.
“Ini juga membantu mereka mengenali masyarakat secara dekat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Progam Kembaraduga dan Gotong-Royong Rejimen Semboyan Infantri di Kampung Annah Rais, di sini hari ini.
Justeru, Willie yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo berkata, program seumpama itu juga meringankan beban penduduk kampung khususnya kawasan tersebut kini dibelenggu masalah jangkitan demam denggi.
Selain itu, beliau turut mengalu-alukan program seperti ini terus diperluaskan ke lain-lain kampung di Parlimen Puncak Borneo pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Pegawai Memerintah Rejimen Semboyan Divisyen Pertama Infantri Kolonel Nik Nahar Nik Mohd Isa berkata, program yang dianjurkan oleh pihaknya itu merupakan sumbangan kepada penduduk Kampung Annah Rais.
Katanya, ia sejajar dengan tonggak Tentera Darat iaitu merapat hubungan antara tentera dengan masyarkat awam.
Malah tambahnya, melalui program sebegini, pihaknya menerima cadangan daripada ketua kaum agar mengadakan program pameran dengan mengabungkan pasukan dalam 1 Divisyen agar dapat menarik minat golongan muda untuk menyertai pasukan tentera.
Progam Kembaraduga dan Gotong Royong Rejimen Semboyan Infantri di Kampung Annah Rais berlangsung selama dua hari melibatkan tujuh orang pegawai dan 112 anggota lain-lain pangkat Rejimen Semboyan Divisyen Pertama Infantri.
