GUA MUSANG: Penduduk di Felcra Panggong Lalat di sini dan sekitarnya memanfaatkan Program Jualan Rahmah bagi menambah barangan keperluan sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.
Seorang penduduk, Siti Khalijah Razali, 30, berkata beliau mengambil kesempatan mendapatkan bekalan kerana pergerakan untuk keluar ke bandar akan terbatas sekiranya jalan dinaiki air atau rosak akibat banjir.
“Kebiasaannya, kami terpaksa ke bandar Gua Musang yang terletak lebih 20 kilometer untuk membeli barangan keperluan basah dan kering,” katanya ketika ditemui di sini.
Siti Khalijah berkata program yang kali pertama diadakan di tanah rancangan yang menempatkan hampir 1,000 penduduk itu menawarkan barangan keperluan pada harga lebih murah daripada harga pasaran.
“Ada perbezaan harga untuk beras, telur, ayam dan ikan berbanding di kedai di luar sana. Saya menggunakan peluang harga murah ini untuk berjimat membeli bekalan telur pada RM11 sahaja untuk sepapan, ayam RM7.50 sekilogram berbanding harga biasa RM9 hingga RM11,” katanya.
Bagi penduduk Sungai Asap, Ismail Deraman, 60, yang kebetulan melalui Jalan Gua Musang-Lojing tidak melepaskan peluang untuk berbelanja pada program itu.
“Saya membeli beras, gula, ayam, telur dan keperluan lain untuk bekalan musim tengkujuh nanti. Kalau boleh biarlah jualan ini diadakan dengan lebih kerap kerana harga memang murah dari tempat lain,” katanya.
Penduduk Ladang Liziz, Norliza Mohd Sayuti, 41, berkata dia sememangnya menantikan program itu untuk mendapatkan bekalan barang dapur seperti gula, minyak dan telur dengan harga yang amat berpatutan.
Sementara itu, seorang peniaga Sabariah Mohamed Sayuti, 41, berkata antara barangan yang menjadi rebutan ialah beras pek sembilan dan 10 kilogram (kg) dan telur gred C.
“Kita beri potongan RM10 untuk setiap jenama beras seperti cap Mangga 9 kg dijual RM27 daripada harga asal RM37 dan cap tembikai 10 kg dijual RM30 daripada RM41, manakala telur gred C dijual pada harga RM11 berbanding harga biasa RM13.20,” katanya.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), empat hingga enam episod hujan lebat diramal berlaku sepanjang musim Monsun Timur Laut yang bermula pada 11 Nov lepas dan berterusan hingga Mac 2024.– BERNAMA