KUCHING: Pelancaran Majlis Perasmian Program Kasih Ramadan di UDC, Medan Hamidah mampu memperhebatkan lagi usaha menyantuni asnaf di sekitar Sarawak.
Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, ia sedikit sebanyak membantu masyarakat yang memerlukan dalam menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini.

“Kita salurkan bantuan-bantuan ini kepada mereka yang layak berdasarkan senarai fakir yang disiasat sendiri oleh kami.
“Sumbangan ini bertujuan untuk membantu golongan sasar untuk mendapatkan bantuan khususnya dari segi sara hidup, termasuk bantuan pendidikan, kesihatan dan lain-lain.

“Sekali gus, ia juga merupakan bukti bahawa kita menyalurkan semula dana yang dikutip kepada individu yang benar-benar layak menerima bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Kasih Ramadan dan penyerahan Bantuan TBS di UDC, di sini, hari ini.
Sementara, seramai 30 penerima yang layak di sekitar kawasan Kuching menerima agihan lebih RM50,000 oleh TBS sebagai sumbangan bulan Ramadan.
Dalam program yang sama, Telekom Malaysia Berhad juga telah menunaikan zakat perniagaan dan dibayar kepada TBS berjumlah RM309,855.