KUCHING: Pengenalan Program Kejurulatihan Eksekutif kepada sektor Perkhidmatan Awam Sarawak merupakan inisiatif untuk mempercepatkan prestasi kepimpinan dan transformasi bagi mencapai aspirasi negeri maju 2030.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia bagi menyediakan intervensi pembangunan kepimpinan yang sihat dan berkuasa untuk membina keupayaan serta kapasiti pemimpin yang diperlukan kerajaan.
“Para pemimpin perkhidmatan awam di negeri ini mesti mempunyai keyakinan dan keberanian bagi memberikan yang terbaik untuk menterjemahkan aspirasi negeri 2030 kepada realiti.
“Justeru, di sinilah pentingnya ‘Kejurulatihan Eksekutif’ iaitu ‘teknologi pemikiran terbaharu yang memupuk keupayaan kita untuk berfikir dengan jelas, jauh ke hadapan dan secara kreatif, strategik dan pragmatik – yang penting dalam memacu impak dan inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada pelancaran program Kejurulatihan Eksekutif SCS “Transformasi Melalui Perbualan,”, di sini, hari ini.
“Malah kejurulatihan eksekutif telah menjadi budaya jalan menuju kejayaan, dalam 500 syarikat mengamalkannya, malah telah menjadi tajuk utama dalam majalah kepimpinan dunia utama – seperti Harvard Business Review dan Forbes,” ujarnya.
Tambahnya, kejurulatihan atau bimbingan ialah cara hebat untuk membina pemimpin besar yang mencipta impak, mempercepatkan pertumbuhan dan kejayaan dengan menggabungkan strategi pemikiran dan kelajuan.