Program kem kesihatan bakal diadakan di Kapit

KUCHING: Sehingga kini peratusan penyakit hipertensi semakin meningkat dalam kalangan orang dewasa selain kesedaran orang awam yang terhadap penyakit ini dilihat kurang.

Sehubungan itu, Insititut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (LKKM) Cawangan Kuching, akan menganjurkan satu Kem Kesihatan bertempat di Rumah Panjang Manok Manchal, Sungai Yong, Kapit pada 28 hingga 29 Jun ini (Jumaat dan Sabtu).

Menurut Naib Pengerusi Kem Kesihatan, Harry Christoper menjelaskan program tersebut merupakan salah satu daripada kursus Kursus Pengkhususan Lanjutan Penjagaan Kesihatan Primer (PHC) yang perlu dilaksanakan.

“Pihak kita dihantar untuk berkursus, dan perlu membuat satu kem kesihatan seperti yang dirancang sebagai salah satu syarat dalam kurikulum kami, dalam modul kursus berkenaan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Jelasnya pihaknya telah bekerjasama dengan unit Promosi Kesihatan PKB Kapit termasuklah badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

“Kem yang kita jalankan ini melibatkan 27 orang pelatih selaku ahli jawatankuasa dari LKKM Cawangan Kuching.

“Kem ini akan kita adakan di Rumah Panjang Manok Manchal, Sungai Yong, Kapit, yang mempunyai 41 pintu dan 280 orang penduduk,” jelasnya.

Tambahnya lagi Klinik Kesihatan Kapit yang paling terdekat lebih kurang 30 minit melalui jalan darat lebih kurang 32km dari rumah panjang tersebut.

Jelasnya antara aktiviti yang bakal diadakan selama dua hari di rumah panjang tersebut ialah saringan kesihatan, senamrobik, ceramah kesihatan, pameran kesihatan dan sukaneka bersama penduduk di sana.

“Saringan kesihatan yang kita akan buat ialah Depression Anxiety Stress Scale (DASS) atau Saringan Minda Sihat bagi menilai tahap stress, keresahan dan kemurungan termasuk Borang Saringan Status Kesihatan (BSSK) kepada penduduk rumah panjang tersebut.

“Kem pada kali ink telah memilih tema ‘Ketahui Status Kesihatan Anda, Jaga Pengerai Ke Pengelantang Nuan’,” ujarnya.

Program tersebut akan dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian,dari Bahagian Pengurusan Latihan ILKKM dari Putrajaya termasuklah barisan Pengajar dari ILKKKM Kuching dan wakil pengajar dari ILKKM Kota Kinabalu sebagai pemerhati.

Beliau menyeru kepada semua penduduk kampung yang berdekatan untuk turut serta dalam program dua hari yang diadakan di rumah panjang berkenaan.