Program latihan percubaan hantar vaksin ke Kapit lancar

KAPIT: Program Latihan Percubaan Penghantaran vaksin Pfizer Covid-19 ke Klinik Kesihatan Belaga Kapit hari ini berjalan dengan lancar.
Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata program tersebut sangat penting sebagai permulaan sebelum vaksin Covid-19 sebenar diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan digunakan di pusat-pusat Vaksinasi seluruh Malaysia.
“Sebagai mana yang diketahui umum, vaksin keluaran Pfizer ini memerlukan penyimpanan pada suhu ultra sejuk, negatif 75 Celcius (+/-15°C) yang memberi cabaran dalam proses pengedaran vaksin ini.
“Objektif program ini penting untuk melihat dan memastikan pengekalan suhu ultra sejuk -75°c (±15°c) vaksin keluaran Pfizer adalah terjamin sepanjang tempoh penghantaran dari pengilang di negara Belgium ke Klinik Kesihatan Belaga,” katanya dalam sidang media di Klinik Kesihatan Belaga di sini hari ini.
Program percubaan ini dapat menilai kebolehlaksanaan proses-proses terlibat dalam pengendalian vaksin Covid-19 di seluruh Malaysia dan draf Panduan Pengendalian Vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh KKM.

“Sebentar tadi, kita telah melihat secara langsung penerimaan “thermal shipper” yang digunakan untuk menyimpan vaksin Pfizer semasa proses penghantaran dari pengilang.
“Kita juga dapat menimba pengalaman secara jelas bagaimana “thermal shipper” perlu dikendalikan, penilaian suhu penyimpanan dibuat, vaksin dipindahkan ke tempat penyimpanan (top loading refrigerator) dan pemulangan thermal shipper kepada pembekal,” jelasnya lagi.
Beliau memberi jaminan pihak KKM akan menilai program yang dijalankan pada hari ini dan mengenalpasti sebarang kelemahan yang boleh diperbaiki untuk memastikan pelaksanaan imunisasi Covid-19 berjalan dengan lancar pada masa hadapan.
Terdahulu “thermal shipper” tersebut difahamkan diterbangkan dari Belgium pada Isnin dan tiba di Kuching pada Khamis.
Manakala hari ini ia dibawa ke Bintulu oleh pihak Pfizer dan KKM sebelum tiba ke Klinik Kesihatan Belaga pada tengah hari.