
pics n kapsyen: Alief Noni
KUCHING: Seramai 13 orang pesalah juvana telah menamatkan Program Meningkatkan Literasi Bahasa Malaysia di Sekolah Henry Gurney Borneo.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ini merupakan satu peningkatan positif kepada mereka dan menegaskan ini hak semua orang untuk mendapatkan pendidikan.
“Saya gembira melihat mereka meningkatkan kemahiran membaca walaupun mengambil masa, manakala ada yang beransur-ansur meningkat. Yang penting ia sentiasa berkembang.
“Membaca penting untuk semua anak-anak kita kerana ia adalah hak asasi mereka untuk mendapat pendidikan termasuk belajar membaca dan mengira,” kata menteri itu.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penutupan program itu di Sekolah Henry Gurney Borneo di Penjara Puncak Borneo, hari ini.
Tambahnya, program itu juga membantu sesetengah remaja yang menghidap disleksia, justeru program ini diperlukan untuk membantu meningkatkan kemahiran membaca mereka.
Program itu bermula dari Julai hingga Disember tahun lalu, anjuran Persatuan Disleksia Sarawak dengan kerjasama Penjara Puncak Borneo dengan sokongan daripada pihak kementerian.
Sehubungan itu, Fatimah turut mencadangkan agar program serupa dianjurkan lagi menggunakan Bahasa Inggeris bagi meningkatkan kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa tersebut.