ARTIKEL

Program menyemai semangat kesetiaan kepada raja dan negara boleh diperluas – Fahmi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

IPOH: Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2023 mungkin akan diperluaskan ke seluruh negara pada masa hadapan, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata beliau akan meneliti perkara itu malah RTM mungkin boleh merakam ucapan ataupun persembahan oleh peserta program itu untuk ditayangkan.

“Ini saya harap kita dapat jadikan contoh bagi negeri-negeri yang lain dan juga untuk seluruh negara. Itu harapan saya, saya akan bincang dengan Menteri Pendidikan untuk lihat apa yang boleh kita lakukan di peringkat negeri dan akhirnya kejohanan di peringkat kebangsaan.

“Tetapi saya lihat niat dan hasrat itu untuk merapatkan rakyat dan raja, itu adalah hasrat yang saya harap kita dapat terjemahkan di peringkat nasional,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut di sini, malam ini.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke program tersebut di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Fahmi berkata program seumpama itu tidak harus dihadkan kepada peringkat sekolah sahaja tetapi perlu dilibatkan persatuan penduduk serta Rukun Tetangga, namun sebagai permulaan beliau melihat pelaksanaan program itu di peringkat sekolah adalah tindakan yang tepat.

“Sebab dari awal apabila Tan Sri Annuar Zaini menyebutkan tadi pada 2017 lebih kurang 15,000 peserta, dalam tempoh enam tahun meningkat menjadi setengah juta itu adalah satu pencapaian yang cukup menakjubkan.

“Saya ingin tahu resipi, strategi yang beliau laksanakan tetapi sekiranya dapat kita laksanakan di seluruh negara, saya lihat kita dapat pupuk nilai-nilai yang begitu baik, begitu murni dalam kalangan generasi akan datang. Itu pada saya adalah perkara yang sangat penting yang perlu kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya program seumpama itu yang meraih penyertaan setengah juta peserta dalam tempoh enam tahun dapat direalisasikan di seluruh negara pada masa hadapan.

Terdahulu dalam sembah ucapan Pengerusi Jawatankuasa Program Tan Sri Annuar Zaini berkata penyertaan bagi program tersebut pada tahun ini adalah di luar dugaan iaitu menerima lebih setengah juta peserta berbanding kira-kira 15,000 pada 2017.

– BERNAMA

BERITA LAIN

Kertas siasatan kes pembunuhan Nur Farah hampir siap

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah kini hampir siap dan dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa

BERITA TERBARU