Program Mesra Bomba dan Kepimpinan MPP IKM Bintulu Bersama Komuniti Rumah Raymond Plen

SEBAUH: Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu telah bekerjasama mengadakan program Mesra Bomba dan Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IKM Bintulu bersama komuniti Rumah Raymond Plen, Sunggai Gelam, di sini.

Program ini melibatkan lebih 600 orang penduduk rumah panjang dan ketua kaum sekitar Sebauh, anggota bomba, warga kerja MARA, kepimpinan MPP IKM Bintulu dan mahasiswi Open University Malaysia (OUM) Bintulu.

Matlamat utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada barisan MPP dan jawatankuasa yang terlibat tentang penganjuran, pengurusan dan pelaksanaan program berimpak tinggi dengan kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk kerajaan mahupun swasta dan komuniti rumah panjang.

Antara pengisian program termasuk senamrobik bersama penduduk rumah panjang yang diketuai oleh Azizi Nawawi dan kumpulan daripada Bintulu Development Authority (BDA).

Turut diadakan juga aktiviti khidmat masyarakat berbentuk teknikal, am, dokumentasi rumah panjang, sukaneka dan pertandingan memancing udang anjuran IKM Bintulu, taklimat kesedaran bahaya kebakaran,demonstrasi pemadaman kebakaran dan api dapur dan pertandingan mewarna kendalian Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu selain pameran darpada pihak IKM Bintulu, Jabatan Bomba dan penyelamat zon Bintulu, Pejabat MARA Daerah (PMD) Bintulu dan hasil kraftangan rumah panjang terbabit.

Pihak IKM Bintulu, OUM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu serta penduduk rumah panjang turut bekerjasama bergotong-royong membersih sekitar kawasan rumah panjang seperti memasang papan tanda rumah panjang, mengecat pagar di pintu masuk utama, menebang pokok, mencantas ranting kayu, memotong rumput dan lain-lain.

Pada program tersebut, IKM Bintulu turut menyumbang seunit projek inovasi bertajuk EzyHusk yang merupakan mesin pengupas sabut kelapa tua bagi memudahkan kerja-kerja penduduk rumah panjang terbabit.

Projek ini pernah memenangi Anugerah Inovasi Aspirasi anjuran Unit Penyelidikan & Inovasi (UNI) yang berlangsung sempena MARA Technology Exploration 2019 (MARATEX 2019). Projek ini dibangunkan oleh pelajar Desmond Anjie Anak Entebong, Jeremy Telajan Jana dan Marvinson Dale Anak Timan yang dibimbing oleh Bonny Jinggut Anak Dominic Merikan, Jngalang Anak Unsa dan Melvin Sean Anak Joseph.

Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Balai BOMBA Zon 5 Bintulu, Pgkb. Unjar Lum dengan gimik perasmian bertajuk Longhouse Fire Fighting System Powered by Solar Energy.

Gimik yang diperkenalkan merupakan projek inovasi yang direkacipta untuk mencadangkan kaedah pemadaman kebakaran di kawasan rumah panjang terutamanya hulu sungai.

Projek ini telah dibangunkan oleh pelajar IKM Bintulu iaitu Wan Muhammad Syafiq Wan Tuah, Hisyam Abdul Hamid, Alexsis Singai Anak Mingkul, Wan Muhammad Afiq Wan Tuah dan Mohammad Syukri Bin Redim di bawah bimbingan Husin Mahmad dan Michael Anak Jangi.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Jenny Bangga, Pegawai Daerah Sebauh, William Manggoi, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik, Ts. Azman Long, ketua masyarakat dan ketua kaum setempat hadir sama.

Suara Sarawak