
KUCHING: Joeyees Trading Sdn Bhd, syarikat pengeluar produk berasaskan lada Sarawak jenama Nang Ori melancarkan program baharu iaitu Nang Ori Home Centre bagi membantu rakan kongsi eksklusif mudah alih (EPM) menjana pendapatan tambahan.
Nang Ori Home Centre tersebut dilancarkan oleh Pengarah MARA Sarawak Dr Azmi Amat Murjan dalam satu majlis makan malam gala Nang Ori 2022, di sini, malam tadi.
Menurut Pengarah Nang Ori Awaeng Kwasin, dengan adanya Home Centre tersebut, pembeli boleh mencari pusat yang terdekat untuk membeli produk Nang Ori menerusi Google dan Waze secara mudah, pantas dan dekat.
“Pengguna aplikasi Google Business dan Waze sudah menjadi satu trend dalam kalangan pengguna pada masa ini untuk mencari produk keperluan masing-masing,” katanya berucap pada majlis tersebut.
Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin.
Awaeang berkata, setakat ini, Nang Ori mempunyai sebanyak 20 pusat berkenaan untuk membantu lebih 5,000 orang agen atau lebih dikenali sebagai EPM dengan 10 orang ketua dan 10 orang VVIP EPM.
“Kebanyakan mereka adalah wanita yang merupakan suri rumah, ibu tunggal serta perseorangan yang menjana pendapatan hanya dari rumah secara dalam talian dengan menjual produk berasaskan lada Sarawak atas jenama Nang Ori,” katanya.
Di samping itu, Awaeng berkata, syarikatnya akan membantu penduduk Rumah Panjang Nanga Seladong Ulu Skrang memasarkan kraftangan mereka yang selama ini tidak terjual berikutan kekangan yang dihadapi.
