KUALA LUMPUR: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Nexus Produktiviti Perkhidmatan Profesional (PSPN) telah melancarkan program ‘Productivity Step-Up’ bertujuan membantu syarikat perkhidmatan profesional menangani kenaikan kos operasi menerusi adaptasi penggunaan teknologi.
Projek rintis ini sedang dilaksanakan dengan sasaran mengurangkan lima ke 10 peratus kos operasi industri perkhidmatan profesional merangkumi bidang kejuruteraan, perakaunan, seni bina dan perundangan, kata MPC dalam satu kenyataan semalam.
“Inisiatif di bawah PSPN diteruskan bagi meningkatkan produktiviti dan menambah baik tadbir urus di peringkat enterpris.
“Usaha ini juga diharap dapat mengimbangi kenaikan kos operasi perniagaan yang kini membebani pemain industri,” kata Timbalan Ketua Pengarah MPC Zahid Ismail.
Zahid berkata PSPN merancang untuk memperluaskan inisiatif ini kepada industri-industri lain di dalam subsektor perkhidmatan.
MPC dan PSPN turut bertemu dengan pemain industri untuk mendengar isu dan cabaran yang dihadapi dan bersedia memudahcara penyelesaian bagi isu yang dihadapi bagi melonjakkan dan memperkukuhkan produktiviti industri perkhidmatan profesional. – BERNAMA