BETONG: Bahagian Betong sebagai lokasi ketujuh penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Tengah disasar menarik kira-kira 115,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya, bermula 25 hingga 27 September ini.
Program berkenaan akan dirasmikan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 26 September ini di Kompleks Sukan Betong, selain menawarkan pelbagai hadiah menerusi e-Peraduan dengan hadiah utama sebuah kereta Perodua Bezza X bernilai kira-kira RM48,000.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sasaran kehadiran itu dibuat berdasarkan pelbagai pengisian yang disediakan, termasuk pameran, perkhidmatan agensi kerajaan, aktiviti sukan dan hiburan.
Sebanyak 158 jenis perkhidmatan daripada 48 agensi kerajaan dan berkaitan disediakan untuk dimanfaatkan masyarakat sekitar, katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Bahagian SKS Bahagian Betong 2026 (Zon Tengah) di Pejabat Residen Betong, hari ini.
Selain hadiah utama, sebanyak 107 hadiah lain turut ditawarkan, termasuk dua motosikal, sebuah ATV, pakej pelancongan ke Kuala Lumpur untuk dua orang, telefon pintar, peralatan sukan, jongkong emas serta barangan elektrik.
Dari segi pengisian kebudayaan dan hiburan, Malam Kebudayaan Sarawak pada 25 September bakal menampilkan artis tempatan termasuk Mawat dan Lucy M, manakala Konsert Rakyat pada malam 26 September pula menampilkan Baby Shima, Bob Yusof dan barisan artis lain.
Sementara itu, acara larian santai sejauh lima kilometer dijadualkan berlangsung pada pagi 27 September dengan penyertaan setakat ini mencecah kira-kira 1,000 orang. Persiapan keseluruhan program turut diteliti bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap ADUN Saribas, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datuk Hii Chang Kee; dan Residen Bahagian Betong, Datuk Richard Michael Abunawas mengadakan lawatan ke tapak program bagi meninjau persiapan.

