ARTIKEL

PENYAMPAIAN SUMBANGAN... Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib (kiri), menyampaikan sumbangan kepada wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mukah dan PPD Dalat pada Majlis Pelancaran Program Tuisyen Setiaraja Mukah dan Smart Gadget, malam tadi.

Program Smart Gadget bantu pelajar kuasai kemahiran digital

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Pelaksanaan Program Tuisyen Setiaraja Mukah dan Smart Gadget menjadi kesinambungan aspirasi Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam memperkasa pendidikan menerusi penubuhan Yayasan Mukah.

Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata program itu bertujuan memastikan lebih ramai pelajar memperoleh akses kepada bimbingan akademik dan kemudahan digital.

“Ia juga bertujuan membantu pelajar yang memerlukan sokongan tambahan dalam pembelajaran.

“Pada masa sama, ini membantu melengkapkan mereka dengan kemahiran digital sebagai persediaan menghadapi cabaran pendidikan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Tuisyen Setiaraja Mukah dan Smart Gadget di Pusat Khidmat Parlimen Mukah, malam tadi.

Mengulas mengenai Program Tuisyen Setiaraja Mukah, beliau berkata program itu memberi tumpuan khusus kepada pelajar yang lemah dalam pembelajaran dan memerlukan bimbingan tambahan.

Katanya, program itu bertujuan meningkatkan penguasaan dalam mata pelajaran utama, selain membina keyakinan serta minat mereka terhadap pembelajaran.

Sehubungan itu, bagi menjayakan inisiatif tersebut, sebanyak RM50,000 diperuntukkan, dengan RM10,000 masing-masing disalurkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mukah dan PPD Dalat.

Selain itu, RM20,000 diperuntukkan bagi pembelian 10 unit tablet di bawah seliaan Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM), manakala baki RM10,000 digunakan bagi pelaksanaan kelas tuisyen termasuk bayaran tenaga pengajar, penyediaan makanan kepada pelajar serta pembelian bahan pembelajaran.
Hanifah menegaskan usaha memperkukuh pendidikan tidak boleh dipisahkan daripada perkembangan teknologi yang semakin mempengaruhi kaedah pembelajaran pada masa kini.

RAKAM KENANGAN… Datuk Hanifah Hajar Taib merakam gambar kenangan bersama tetamu dan peserta pada Majlis Pelancaran Program Tuisyen Setiaraja Mukah dan Smart Gadget.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik komitmen Premier Sarawak dalam memperkasa agenda pendidikan negeri bagi memastikan anak-anak Sarawak menikmati akses kepada pendidikan berkualiti serta kemudahan digital yang lebih baik.

“Pelajar perlu dilengkapi dengan ilmu pengetahuan, bimbingan berterusan dan kemudahan digital yang mencukupi.

“Ini bagi memastikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran dunia pendidikan serta memenuhi keperluan era digital,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerjasama erat antara Pusat Khidmat P213 Mukah, Pejabat Pendidikan Daerah Mukah, Pejabat Pendidikan Daerah Dalat serta sekolah-sekolah yang terlibat akan membolehkan lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripada program berkenaan.

“Kerjasama ini penting bagi memperkukuh pencapaian akademik pelajar, sekali gus melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berkeyakinan tinggi untuk menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU