SARIKEI: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) meneruskan penganjuran Program Ziarah UKAS dalam usaha mendekatkan lagi hubungan antara agensi itu dengan masyarakat.
Ketua Penolong Pengarah UKAS Anwar Hanafi Ardimansyah berkata, program yang diadakan sejak beberapa tahun lalu itu mendapat respons baik daripada komuniti setempat.

Malah ujarnya, pihaknya mendapat kerjasama baik pelbagai pertubuhan termasuk jawatankuasa pengurusan surau dan masjid di Sarawak.
“Respons baik itu menyuntik semangat kita untuk meneruskan penganjurannya.
Sepanjang Ramadan kali ini, kita mempunyai 12 siri ziarah dan Sarikei merupakan lokasi persinggahan yang ketiga.
“Kita akan meneruskan sembilan lagi program yang sama di setiap bahagian sehingga penghujung Ramadan,” katanya ketika ditemui media di sini, semalam.
Selain mengimarahkan sambutan Ramadan, program juga bertujuan mengukuhkan lagi nilai murni, kesepakatan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu, penganjuran juga bermatlamat memupuk keharmonian dan perpaduan ahli komuniti tidak mengira bangsa, kaum dan agama.
“Ziarah UKAS yang melibatkan penyertaan masyarakat peringkat akar umbi juga akan diteruskan dengan tema Ngabang Gawai, menjelang sambutan Hari Gawai tidak lama lagi,” tambahnya.
Majlis diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Seri Huang Tiong Sii.