Projek berimpak tinggi hadiah istimewa Kerajaan Sarawak untuk rakyat

SARIKEI: Kerajaan Sarawak komited dalam usahanya untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan meluluskan beberapa projek berimpak tinggi yang bakal memberi manfaat besar kepada penduduk di bahagian ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, sebahagian daripada projek itu diluluskan malah, ada yang sudah dilaksanakan khususnya di DUN Repok.

Pelaksanaan projek jalan raya Sungai Pasi ke Tanjung Manis katanya, membuktikan keperihatinan kerajaan Sarawak terhadap keperluan rakyat.

“Saya amat bersyukur dan ingin berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak, khususnya kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg atas kelulusan beberapa projek yang berimpak tinggi untuk rakyat di kawasan ini.

“Kita berbesar hati kerana Sarawak mempunyai seorang Ketua Menteri yang sentiasa berfikir untuk rakyat dan sering menghulurkan dana berterusan untuk membangunkan Sarawak termasuk Sarikei. Ini menunjukkan Abang Jo sangat menyayangi rakyat dan kita semua mesti menyokong perjuangan beliau,” katanya.

Memotong reben sebagai simbolik perasmian Dewan Serbaguna SDNU Sarikei.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian dewan serbaguna Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) dan Program Ngiling Bidai Gawai Dayak 2019 di sini hari ini.

Dewan baharu dibina di bawah Projek Transformasi Luar Bandar ( RTP ) 2018 sebanyak RM200,000 memberi kemudahan serta tempat yang lebih selesa kepada penduduk setempat menganjurkan program.

Huang berkata, kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak itu bukan sahaja boleh dimanfaatkan untuk menganjur program kemasyarakatan tetapi juga memberi peluang kepada penduduk melakukan aktiviti riadah dan sukan.

Menurutnya, prasarana itu juga berperanan sebagai platform memupuk semangat perpaduan dan kejiranan.

“Sehubungan itu, saya juga menggesa penduduk agar menganjurkan pelbagai aktiviti yang berfaedah dan berharap kemudahan ini diurus serta dijaga dengan baik,” katanya.

Hadir sama Pengerusi SDNU, Tuai Rumah Setia Ungok,Penghulu Bidai Gisang, Penghulu Wiliam Tandang, Pengerusi Pengelola Program, Kaunselor Egong Undong dan lebih 500 penduduk.

Mengabadikan kenangan bersama tetamu yang hadir.