Projek di S’wak tetap diteruskan

KUCHING: Tidak kira siapa pun pengganti Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan, projek pembi-
naan dan baik pulih sekolah daif di Sarawak perlu diteruskan.

Demikian tegas Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong ketika mengulas tindakan letak jawatan Dr Maszlee yang berkuat kuasa semalam (3 Januari).

Beliau ketika dihubungi pada semalam berkata, jawatan menteri kabinet yang dilepaskan itu tidak menjejaskan sebarang rundingan mahupun projek yang dilaksanakan.

“Tidak. Siapa sahaja yang akan ambil alih tugas Menteri Pendidikan, beliau akan teruskan kerjanya.

“Secara peribadinya saya percaya perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi menerusi WhatsApp bagi mendapatkan reaksi mengenai tindakan Dr Maszlee yang mengumum meletak jawatan dalam satu sidang media di Putrajaya pada Khamis.

Kata Manyin, menerusi Rancangan Malaysia Ke-11, sebanyak 196 sekolah daif atau 19.2 peratus daripada jumlah keseluruhan 1,020 sekolah di seluruh Sarawak telah dibaik pulih setakat ini.

Kerajaan Persekutuan katanya telah membelanjakan kira-kira RM678.97 juta bagi negeri ini untuk memperbaiki, menaik taraf atau membina semula sekolah yang daif sejak 2016 hingga kini.

Beliau menambah, RM100 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan Persekutuan 2020.

Mengenai peruntukan RM1 bilion oleh Kerajaan Persekutuan, bayaran pertama secara kontra sebanyak RM350 juta telah dibayar oleh Kerajaan Negeri untuk 37 sekolah pertama di negeri ini.

Sementara itu, bayaran kedua dan ketiga masing-masing berjumlah RM350 juta dan RM300 juta dijadualkan dibayar pada Januari dan Jun depan.