ARTIKEL

KERJASAMA... Dr Hazland (lima kanan) bersama delegasi Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak serta rombongan Ketua Pengarah Biro Dasar Ekonomi Hidrogen di Kementerian Perdagangan, Perindustrian dan Tenaga Korea Selatan.

Projek H2biscus bersama Korea Selatan berpotensi jadikan Sarawak perintis hidrogen berskala global

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak telah mengadakan perbincangan lanjut mengenai projek hidrogen hijau (H2biscus) yang dijangka berpotensi menjadi inisiatif perintis berskala global.

Usaha itu disahkan oleh Timbalannya, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, menerusi satu kenyataan yang memaklumkan mereka telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Biro Dasar Ekonomi Hidrogen Kementerian Perdagangan, Perindustrian dan Tenaga Korea Selatan, Park Chan Ki, semalam.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan kedatangan wakil daripada Korea Selatan itu dalam satu kunjungan hormat semasa acara CERAWeek di Houston, Texas pada Selasa lepas (19 Mac 2024).

“Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada projek hidrogen hijau H2biscus yang berpotensi menjadikan Sarawak perintis berskala global,” katanya.

Beliau sambil itu menekankan, komitmen yang tidak berbelah bahagi akan diberikan dalam usaha merealisasikan inisiatif ekonomi hidrogen di samping menekankan kepentingan projek H2biscus dalam pembangunan sosioekonomi Sarawak.

Tambahnya, mesyuarat itu menyerlahkan semangat kerjasama dan komitmen bersama ke arah memajukan penyelesaian tenaga mampan.

Di samping itu, ia juga dijangka memupuk pertumbuhan ekonomi, sekali gus menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam usaha meletakkan Sarawak sebagai pemain utama dalam landskap ekonomi hidrogen global.

Baca lain  Tapak pengumpulan sampah sengaja dibakar

Projek H2biscus merupakan usaha kerjasama antara Kerajaan Sarawak, SEDC Energy Sdn Bhd, dengan Korea Selatan, yang diwakili Samsung Engineering, Lotte, dan Korea National Oil Corporation (KNOC).

Kunjungan hormat itu turut disertai Sinae Sung dari Pejabat Konsulat Agung Republik Korea di Houston, wakil KNOC, Jang Jin Hwan dan wakil Samsung Engineering, Park C.H.

Sementara itu, delegasi Sarawak turut diwakili Robert Hardin dari SEDC Energy Sdn Bhd, dan Datuk Adrian Ching dari Brooke Dockyard & Engineering Works Corporation.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU