KOTA SAMARAHAN: Jika sebelum ini Padang Sentral menjadi lokasi utama acara besar-besaran sejak era 60-an, kini Samarahan bakal ‘meriah’ dengan projek ikonik terbaharu iaitu Boulevard terpanjang di Sarawak.
Projek ini berpotensi menjadi antara tarikan terbesar di Borneo setelah dianugerahkan Fasa Satu, dan bukan sekadar dataran lapang biasa; ia bakal menjadi Putrajaya Boulevard versi Sarawak.

Menurut Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, projek ini lengkap dengan kemudahan riadah, zon perhimpunan, trek jogging, kawasan santai keluarga, dan tapak rasmi untuk pelbagai acara penting negeri.
“Kalau Putrajaya ada Boulevard mereka, China ada Tiananmen Square, Iran pula ada Isfahan Square… Sarawak bakal ada Boulevard Samarahan, ikonik baharu yang akan memberi manfaat kepada rakyat di kawasan Greater Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pra-Pelancaran Projek Taman Tasik Desa Ilmu di sini, hari ini.
Abdul Karim, yang juga Pengerusi Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA), menambah bahawa pemilihan lokasi di Samarahan yang terletak di bawah lingkaran Bandaraya Kuching adalah tepat, mengambil kira pembangunan pesat yang berlaku di kawasan ini.
“Projek pembinaan Boulevard Samarahan sepanjang dua kilometer dengan lebar 26 meter membolehkan ia menampung pelbagai aktiviti dari karnival hingga sambutan Hari Kebangsaan.
“Dan bukan itu sahaja, kawasan sekitar seperti Taman Tasik Desa Ilmu, dua institusi pengajian tinggi seperti Unimas dan UiTM, serta taman-taman perumahan juga bakal menerima limpahan manfaat, menjadikan boulevard ini ruang hidup komuniti, bukan sekadar mercu tanda.
“Kita tidak mahu kawasan perumahan hanya jadi tempat ‘balik kerja-duduk rumah’… Kita mahu gaya hidup yang kondusif, aktif, dan bersosial,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Abdul Karim berkata Fasa Pertama projek ini telah melalui tender terbuka, dan kontraktor telah dikenal pasti serta sedang memulakan kerja di lapangan.
Proses perolehan untuk Fasa Kedua pula akan diteruskan, dengan keseluruhan nilai projek bagi kedua-dua fasa dianggarkan mencecah RM130 juta.
“Projek ini bukan sekadar pembangunan; ia simbol perubahan gaya hidup dan kebangkitan kawasan Samarahan sebagai hab urban baharu. Majlis pecah tanah akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kelak,” katanya.
Projek ini akan dibina dari bulatan berhampiran Masjid Al-Muttaqin sehingga ke ibu pejabat Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), dan akan dikendalikan oleh MPKS dengan dana daripada IRSDA.
Dengan pembinaan boulevard ini, Samarahan dijangka menjadi pusat tumpuan baharu untuk acara rasmi dan aktiviti komuniti, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.





