Projek khas diminta rakyat

MIRI: Pembinaan jambatan konkrit menuju Tanah Perkuburan Islam Merapak, Kampung Pengkalan Lutong memudahkan pengurusan pengebumian jenazah selepas lebih 50 tahun digunakan.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, jambatan menyeberangi anak sungai kecil itu sudah usang dan perlu diganti.

“Ini projek khas atas permintaan penduduk kampung kerana selama ini jambatan kayu berkenaan telah uzur serta menyukarkan pergerakan penghantaran jenazah,” katanya semasa melawat Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di sini pada Khamis.

Adun Senadin itu memberitahu, projek sepanjang 10 meter dan seluas lima meter itu di bawah peruntukan Kerajaan Sarawak berjumlah RM100,000. Tambah beliau, projek yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Miri (MBM) itu bermula sejak 11 Januari lalu dan siap pada 10 Mac.

Selain membina jambatan konkrit, projek ini juga katanya, membabitkan kerja-kerja menambah baik jambatan kayu menuju ke tanah perkuburan serta penurapan jalan di hadapan jambatan konkrit.

“Pembinaan jambatan konkrit ini sekurang-kurangnya menyelesaikan masalah umat Islam di sini. Urusan penghantaran jenazah ke tanah perkuburan menjadi lebih mudah dan lancar,” jelasnya.

Kim Shin turut memohon Jabatan Perparitan dan Saliran melakukan pembersihan sungai berhampiran kubur berkenaan bagi melancarkan aliran air sungai. Ketua Kaum Kampung Pengkalan Lutong Ali Mat pula berkata, Kubur Merapak dibuka sejak 1970-an dan sejak itu jambatan kayu tersebut menjadi penghubung tanah perkuburan dengan penempatan penduduk.

“Kubur Merapak ini sudah lama… sejak 1970-an, kawasan ini luas dan masih mempunyai ruang untuk pengebumian jenazah,” ujarnya.

Ali Mat berkata, urusan pengebumian jenazah sebelum jambatan konkrit dibina agak sukar, ekoran jalan yang sempit serta jambatan kayu yang uzur.

Namun beliau bersyukur Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM100,000 untuk membina jambatan yang lebih kukuh serta boleh diguna lebih lama.

“Dengan adanya jambatan ini, urusan penghantaran jenazah ke tanah perkuburan menjadi lebih mudah,” jelasnya lagi.

Suara Sarawak