KOTA SAMARAHAN: Projek menaik taraf lima bulatan sepanjang lebuh raya Kuching-Samarahan dan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) untuk kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) dijangka siap selewat-lewatnya November tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kedua-dua projek terbabit tidak mempunyai sebarang gangguan besar atau alasan untuk tidak disiapkan mengikut jadual.
“Kita amat optimistik agar jalan ini siap mengikut jadual kerana hasil pemantauan tapaknya sudah kukuh di samping beberapa permukaan laluan sudah siap dibina.
“Projek lima bulatan sudah mencapai 58 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober ini manakala laluan tengah untuk ART yang kini mencapai 3 peratus akan cuba diselesaikan pada November,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di laluan bulatan berhampiran Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, hari ini.
Uggah merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Wilayah berkata, beliau mengakui berpuas hati dengan tahap progres yang dilaksanakan menerusi lawatan tersebut.
Turut hadir Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Datuk Peter Minos dan Pengarah Projek KUTS Zafrin Zakariah.