KUCHING: Kerja menaik taraf lima bulatan di sepanjang jalan Kuching – Samarahan yang mula dijalankan sejak 15 Oktober 2020 belum dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan atas faktor tertentu.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berkata projek yang dijadualkan siap pada 14 Januari lalu menghadapi beberapa penangguhan sehingga menyebabkan kerja pembaikan tidak dapat disiapkan.
“Pelbagai mesyuarat telah diadakan untuk memperbetulkan masalah yang dihadapi, namun projek tersebut tetap tidak berjaya menemukan jawapan bagi menyelesaikannya.
“Justeru, Notis Kemungkiran dikeluarkan secara rasmi kepada pihak kontraktor yang terlibat pada 13 Januari tahun ini kerana mereka tidak dapat dapat menjalankan tanggungjawab yang baik sepanjang tempoh yang diberikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu menambah akibat penangguhan kerja pembaikan tersebut, pengguna jalan raya yang menggunakan laluan berkenaan terpaksa berdepan dengan masalah kesesakan setiap hari.

Sehubungan itu, katanya beberapa langkah sementara diambil untuk mengurangkan masalah kesesakan yang dihadapi oleh orang ramai yang melalui laluan tersebut.
Antaranya, pihak Penyedia Perkhidmatan telah diarahkan untuk mengambil alih kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya yang sedang dijalankan mengikut aturan yang ditetapkan.
Selain itu, Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan turut berbincang dengan pihak polis untuk menempatkan pegawai trafik di bulatan tertentu bagi membantu aliran trafik berjalan lancar.
“Penyedia Perkhidmatan sudah mula menjalankan tugas untuk memantau sekiranya terdapat kerosakan jalan berlaku seperti lubang dan akan menjalankan kerja-kerja menampal dengan segera.
“Namun, susulan keadaan cuaca yang agak teruk ketika ini, lubang yang ditampal tidak dapat bertahan lama,” katanya.
Tambahnya, untuk penyelesaian jangka pertengahan, lapisan baru akan diletakkan di atas jalan tersebut, sekali gus menambah baik keadaan jalan raya yang terjejas.
Orang ramai juga boleh menghubungi JKR melalui aplikasi WhatsApp RoadCARE di talian +6011-70171777 sekiranya mempunyai sebarang aduan agar tindakan segera dapat diambil.